Daisypath Wedding tickers
Showing posts with label rumahtangga. Show all posts
Showing posts with label rumahtangga. Show all posts

Thursday, April 12, 2012

Faatinah Nabiihah a.k.a Fatin


Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana anakanda pertamaku, Faatinah Nabiihah telah selamat dilahirkan pada 27hb Mac 2012, jam 2.41petang di Hospital Pantai Ayer Keroh, Melaka. Tiada apa yang dapat aku katakan selain gembira (mata berkaca) melihat anakanda dan isteriku selamat. 

Doakan kami menjadi keluarga yang diredai Allah dan sentiasa berada di dalam kecukupan.

Saturday, January 8, 2011

Kalau bermain kalau

Kalau sayang diwayang-tayang,
pasti ada yang tergilakan bayang.
Kalau cinta dipangku-tatang,
pasti ada yang terlepas pandang.
Kalau kasih dipendam-simpan,
pasti ada yang menaruh harapan.
Kalu rindu termimpi-kenang,
pasti ada yang tak keruan.

Kalau bermain cinta, biarlah berpada.
Kalau bermain kasih, biarlah dari hati bersih.
Kalau bermain kata, jangan sampai ada terluka.

Monday, October 18, 2010

Menegur dan menegah

Berpeluang sekali lagi ke negara Jepun ini membuatkan aku kembali merenung kebaikan yang ada dalam diri Jepun.

Berehat sambil menunggu rakan menaiki Roller Coaster, mataku sengaja diliarkan. Melilau-lilau memerhati dan merenung budaya orang Jepun yang hidup tanpa sebarang pegangan agama. Segala-galanya terletak pada diri. Percaya bahawa diri yang menentukan segala-galanya. Jodoh, rezeki, maut, dan apa sahaja. Dan tiba-tiba aku terpandang satu situasi yang agak mencuit rasa hati - bagaimanalah sikapku nanti andai anakku buat begitu?

Seorang ibu bersama dua anak berehat sebentar dengan duduk di pinggir jalan. Hanya beberapa langkah dari aku. Seorang anaknya masih di dalam pusher. Manakala seorang lagi (si abang) sedang menggendong bekas berisi bertih jagung di dilehernya. Si abang kelihatan gembira dan menari-nari mengikut irama lagu yang berkumandang. Tanpa semena-mena, bertih jagung tertumpah kerana kaki anaknya tersadung sendiri akibat terlalu asyik menari dan melompat. Melihatkan anaknya begitu, ibunya terus menarik tangan anaknya supaya duduk. Marah, tapi bukan memukul. Kata-kata jangan bermain semasa makan dituturkan dalam nada tegas. Bekas bertih jagung terus diambil dari leher anak sebagai hukuman. Dan si ibu terus memungut bertih jagung yang jatuh sambil mengajak anak turut sama mengutip. Selesai kutip, bekas bertih jagung diberi kembali kepada si anak. Dan kali ini anak itu dengan sendirinya duduk di sisi ibunya (tanpa disuruh) sambil memeluk erat bekas bertih jagung yang kembali dikalung di lehernya.

Betapa tegahan sahaja tanpa diajar cara penyelesaian bukanlah satu cara yang cukup bagus untuk mendidik anak-anak. Seandainya sejak kecil lagi diajar cara penyelesaian kepada satu kesalahan, pastinya (insyaAllah) dunia ini akan terus tenang.

Dan aku semakin terdiam apabila memikirkan apakah aku mampu membentuk anak-anak dan keluargaku ke arah keluarga yang diredai dan dirahmati. Namun, aku (dan setiap orang Muslim) harus sedar bahawa tanggungjawab berkeluarga bukan sekadar menambah umat dan memenuhi tuntutan biologi, tapi lebih daripada itu. Dan tanggungjawab itu bukan satu pilihan, tapi satu amanah yang mesti ditunaikan.

Dan yang Islam perlukan hari ini adalah umat Islam yang berkualiti dan berkuantiti.
(kualiti hadir dahulu kerana daripada kualiti lah akan lahirnya kuantiti)

Friday, February 5, 2010

tertelan kaca

Bukan provokasi mahupun "mau bikin kecoh". Cuma ingin berkongsi sesuatu.

Kita hanya mampu merancang.
Kedua-dua belah famili yang buat keputusan.
Tuhan yang menentukan.


-JODOH-

Yang tinggal, hanyalah usaha, istikharah, doa dan tawakkal.

Sama-sama kita renungkan. Dan doakan...

Monday, January 4, 2010

Aku Terima...

Aku terima nikahnya; si polan binti si polan, beserta hutang, masalah dan segala-galanya...

Thursday, December 24, 2009

Keindahan Abadi

Kau, bukan umpama bianglala indah;
hanya ada, bila ada titis air udara dan cahaya.

Kau, indah kerana indahnya budi dan agamamu.

Friday, April 10, 2009

Mulakan dengan basmalah

Permulaan yang baik bukanlah penentu kepada kejayaan masa akan datang.

p.s - teruskan berusaha dan jangan lupa berdoa dan bertawakkal

Monday, November 24, 2008

sebelum dan sesudah

"Kalau bercinta sebelum kahwin, masa bercinta kita dapat yang manis saja. Nanti bila dah kahwin, dapat yang busuk sekali, kita terkejut pula. Tapi kalau bercinta sesudah kahwin, dapat manis dan busuk pun, nak taknak, kita terpaksa terima juga."

*Pernah dengar kata-kata ini? - "Dengar boleh, percaya jangan."

*Dalam nada yang sama, entri ini berkata, "Baca boleh, (tapi) percaya? Nanti dulu."

*Tepuk dada tanya iman, ingat TUHAN.

Thursday, October 16, 2008

Aku Terima Nikahnya


Biar seru yang memanggil, bukan mungil bibir atau comel rupa.

Sungguh-sungguh buku ini membuka minda. Moga-moga tulisan tentang isi buku ini dapat dikongsi bersama.

Cuba-cuba Kahwin

Perkahwinan bukanlah suatu percubaan atau tempat meraih pengalaman. Tiada konsep cuba-cuba berkahwin. Perkahwinan adalah satu perjanjian untuk memberi komitmen kepada pasangan dan keluarga. Juga bukan sekadar nafsu dan kasih sayang semata-mata tanpa memikirkan tentang tanggungjawab dan peranan.

Zuriat

Usah asyik bertanya berapa bilangan zuriat yang diingini tanpa memikirkan berapakah zuriat kita yang benar-benar menjadi 'manusia'. Dan juga proses serta cara untuk memanusiakan zuriat.

Antara Hak Dan Tanggungjawab

Kita perlu berusaha untuk menunaikan peranan dan tanggungjawab. Bukan asyik menghitung hak-hak yang masih belum diterima. Pasangan kita juga seorang manusia biasa, bukannya robot; tak punya perasaan dan sekadar menerima arahan sahaja.

Cinta Tanpa Syarat

Cintailah anak-anak yang lahir nanti tanpa syarat. Tanpa mengharap mereka akan menatang kita di waktu kita tua kelak. Ketahuilah bahawa mencintai dan menatang anak-anak itu adalah tanggungjawab kita kepada agama, bangsa dan negara. Bukannya sebagai pelaburan untuk kehidupan yang lebih menyenangkan di masa depan hasil bantuan anak-anak.

Antara Kenapa Dan Untuk Apa

Andai pasangan kita nanti bukan se'sempurna' yang kita inginkan, usahlah asyik bertanya kenapa kita dijodohkan dengan orang sebegitu. Tanyalah pada diri untuk apa kita dipasangkan begitu. Dan fikirkanlah bagaimana untuk mengatasi atau menghadapi rintangan yang ada.

Terdapat bermacam alasan dan cara untuk berkahwin. Namun, sebagai pandangan peribadi, berkahwinlah apabila masanya telah benar-benar sampai. Bukan kerana desakan nafsu atau persekitaran. Tidaklah saya katakan bahawa berkahwin awal itu dilarang dan ditegah. Cuma, saya berpendapat seelok-eloknya bergaullah dengan masyarakat dahulu sebelum mendirikan rumahtangga. Usahlah terburu-buru untuk berkahwin sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga. Fahami dulu selok-belok dunia luardan dunia berkahwin. Kumpullah aset sebelum berkahwin sebagai jaminan masa depan. Siapkanlah dirimu dengan persediaan serapi mungkin; zahir dan batin.

Biar bagaimana rupa pasangan kita nanti sekalipun, yakin dan percayalah; Tuhan tak pernah kejam dalam mengatur hidup kita.

Sunday, September 14, 2008

Macam Macam

Ramadhan

Wah, Ramadhan sudah menjengah malam kelima belas! Sungguh cepat Ramadhan kali ini bergerak. Bagai tak percaya pula Ramadhan sudah masuk hari yang kelima belas. Rasanya bagaikan baru semalam sahaja Ramadhan menjengah tiba. Dan oleh itu, marilah kita bersama-sama mengoreksi segala amalan kita di bulan mulia ini. Apakah sempurna puasa kita dengan turut mempuasakan seluruh anggota tubuh kita; mata, mulut, telinga dan seluruh badan? Biar apa pun jenis puasa yang telah kita lakukan, biarlah yang berlalu terus berlalu. Yang penting sekarang ini, bagaimanakah harus kita tambah amalan-amalan untuk menghabiskan sisa bulan pahala ini. Dan jangan lupa berdoa semoga Ramadhan kali ini tak sia-sia. Dan peluang merebut pahala Ramadhan yang masih ada ini perlulah kita gunakan sebaik mungkin.

Rumah Tangga

Di bulan Ramadhan ini juga, kerap kali secara tidak dirancang aku menemukan topik bicara iaitu kahwin. Dan di antara yang menarik untuk aku kongsikan adalah sedutan Forum Petua Mendapat Pasangan yang dipengerusikan oleh Aziz Desa. Manakala Dr Masyitah Ibrahim dan Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah sebagai penforum.

Dalam forum itu, Dr Masyitah ada memberi contoh bahawa sikap suami yang acuh tak acuh seringkali menjengkelkan pihak wanita. Contohnya andai si isteri bertanya pada suami yang sedang minum kopi, "Minum kopi ye bang?" Biasanya yang dijawab oleh suami bukanlah "ya", sebaliknya si suami akan menjawab dengan jawapan yang kurang menyenangkan seperti berkata, "Taklah. Tengah menyelam."

Selain itu, andai si suami siap berpakaian kemas ingin pergi ke kerja, bertanyalah si isteri kepada si suami, "Nak pergi kerja ye bang?" Lantas dijawab secara sambil lewa oleh si suami dengan berkata, "Taklah. Nak pergi pecah rumah orang."

Walaupun aku masih belum bergelar suami kepada mana-mana wanita, aku juga yakin bahawa dialog yang serupa itu akan aku ungkapkan kepada isteri ku nanti. Mungkin dengan niat sekadar bergurau. Bukankah lebih baik bergurau sekali sekala daripada asyik bercakap serius dengan isteri dua puluh empat jam. Dan secara jujur, aku memang suka bergurau. Dan kepada wanita yang bakal bergelar isteri nanti, rajin-rajinlah membaca perasaan si suami. Manalah tahu si suami sedang kehabisan idea dan baru sahaja dimarah oleh majikan di tempat kerja.

Namun, bukanlah dimaksudkan si isteri sahaja yang harus membaca perasaan si suami. Sang suami juga harus sama-sama pandai membaca isi hati isteri kerana telah kita semua maklum bahawa wanita ini mempunyai sembilan emosi dan satu akal. Makanya, wanita jugalah yang akan lebih beremosi dalam apa hal sekalipun. Dan sebagai lelaki yang berakal sembilan beremosi satu, pandai-pandailah tunjukkan emosi pada waktu yang dirasakan si isteri sangat-sangat memerlukan bantuan emosi daripada si suami.



Dengan kisah perkahwinan Ustaz Hasrizal serta ulangtahun perkahwinannya yang telah menjangkau tujuh tahun, rencam rumahtangga yang dipaparkan di blognya seringkali mengingatkan aku bahawa tujuan perkahwinan itu bukanlah untuk mendapatkan zuriat sahaja. Oleh sebab itulah, persiapan rapi perlu dilakukan sebelum rumah tangga didirikan supaya rumah tangga yang didirikan nanti bukanlah sekadar rumah yang bertangga tanpa jiwa dan tujuan. Dan moga buku Aku Terima Nikahnya hasil tulisan ustaz Hasrizal yang bakal aku hadami nanti dapat menggambarkan serba sedikit tentang kehidupan berumahtangga yang sebenar-benarnya.

BUKU AKU TERIMA NIKAHNYA INI BOLEH DIBELI DI KEBANYAKAN KEDAI BUKU UTAMA DI LEMBAH KLANG, ATAU BELI SECARA ONLINE DI MPH ONLINE