Saturday, June 28, 2008

dari hujan datangnya sayang

i
Dari mana datangnya hujan, dari awan jatuh ke bumi.
Dari mana datangnya sayang, dari mata terus ke hati.

Kata-kata itu terus terngiang di cuping telinga terus-terusan. Berulang bagai dimain berulang kali. Berbunyi dan terus berbunyi. Tanpa henti dan tanpa royalti.

ii
Di lot parkir itulah, berlangsungnya pertemuan terakhir kita. Pertemuan yang akan menjadi titik mula dalam kehidupan kita yang mendatang. Titik yang bakal menjadi sejarah buat selamanya. Buat kita; kau dan aku. Mungkin juga dia.

Petang itu sedikit gerimis. Rintik-rintik halus turun membasahi. Langit bagaikan kembarku; memahami perasaan ku yang berkocak saat itu. Air mata yang bergenang di kelopak mata tersembunyi dicelah basah gerimis petang. Sedu kutahan, dan kau kupandang. Ya, aku senyum padamu tika itu. Namun, senyum itu bukan senyum biasa. Senyum itu senyum bisa; mencucuk biji mata dan menjuih bibir. Senyum ejek katamu.

Aku senyum beku. Sepatah pun tak mampu terpacul dari bibir. Lidah membatu dan bibir terkatup erat. Kau pun begitu. Malah, aku berharap pun kau begitu. Supaya perpisahan ini berakhir dengan sempurna. Tanpa dendam yang terpendam dan tertahan.

Dalam paksa rela, kulepaskan tanganmu perlahan-lahan. Kubuang terus dari genggaman. Kita sama-sama sunyi. Aku mahu kita saling berpandangan, namun kau lantas berkalih pandangan. Sedih katamu. Dan dengan nada gigil, aku berkata padamu, "Cukup sudah kita di sini. Berpisah kita kerana tiada jodoh antara kita. Bukan kerana kau kurang sempurna. Maka, usahlah kau risau akan nasibmu nanti. Pasti dia akan menjagamu sebaiknya. Malah, mungkin lebih baik daripada ku." Dan kau tunduk membisu. Namun, mengangguk tanda setuju.

iii
Maafkan aku sayangku Toyota Altezza RS Edisi Z, kerana tak mampu menjagamu sesempurna bulan untuk malam, sesetia kumbang pada bunga, seikhlas langit memayung bumi. Satu yang kau perlu tahu; minummu bukan sirap jalanan, makanmu bukan sebarang, alat solek mu bukan murahan, semuanya membeban. Dan aku, mencari kasih baru; Honda Fit 1.3 i-Dsi.

Tuesday, June 17, 2008

rehabilitasi paling panjang II

Versi kedua ini lebih santai;penuh aksi mendebarkan dan menggiurkan.

Pertemuan itu sangat asyik,namun menyakitkan; poket dan kaki. Teman yang agak baik semasa di AAJ (Ambang Asuhan Jepun, Universiti Malaya), iaitu Deja atau nama sebenarnya Khadijah telah bersetuju untuk menemani dan menuntuni (aku ni macam basikal) aku selama setengah hari di Osaka.

Maka berjalanlah kami di sekitar Nanba dan mengambil gambar mana yang patut. Sambil berjalan, macam-macam hal dibicarakan kami. Kisah-kisah yang tak mampu dikemaskini dalam talian, kami kemaskini kan dan kami bicarakan satu persatu. Kisah teman sekuliah di AAJ yang sudah berpacaran, berkahwin dan macam-macam hal lagi.

Dan di kala asyik berbicara tentang perkembangan masing-masing, soalan cepumas terpacul daripada mulut Deja. Almaklumlah, sesuai dengan peningkatan usia, siapakan dapat menahan hati untuk bercinta dan berkasih. Dan lantaran itulah, Deja bertanya tentang ciri apa yang ku pandang dalam memilih kasih. Tanpa banyak bicara, sepasang kata 'hati bodi' meluncur laju daripada mulut. Deja ketawa berdekah-dekah mendengarkan jawapan ku itu. Namun dia mengakui hakikat bahawa itu yang dipandang lelaki. Dan bersetuju bahawa itu adalah pengakuan sejujurnya daripada hatiku yang tulus ikhlas ini.(haha.tolong jangan muntah.simpan sehingga ke akhir cerita.) Begitu bersemangatnya aku untuk mengeluarkan perkataan bombastik sehingga terpacullah hati bodi itu. (Deja,sila gunakan perkataan ini sebagai panduan mencari lelaki)

Setelah puas bergelak ketawa dan berguling hindustan, tibalah saat yang dinantikan olehku; masa untuk berehat dengan cara tidur di dalam bas. Memandangkan tertulis di tiket ku; Shin Osaka ke Ube Chuou, maka pergilah kami ke Stesen Shin Osaka. Oleh sebab di tiket itu tiada tertulis secara tepat dan spesifiknya tempat naik bas, maka berjalanlah kami ke bas terminal nombor enam. Namun, disebabkan terminal bas itu tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa bas ke Yamaguchi akan berhenti di situ, maka bertanyalah kami kepada pakcik yang bekerja di stesen Shin Osaka itu. Malangnya, pakcik itu bekerja untuk stesen keretapi, maka tidaklah dia tahu di mana tempat sepatutnya untuk menunggu bas ke Yamaguchi. Dia sekadar memberitahu bahawa ada dua tempat menunggu bas di stesen itu.

Dengan rasa tidak tertekan dan tidak tergesa-gesa, (sejam lagi sebelum masa perjalanan) berjalanlah kami ke tempat yang satu lagi. Kira-kira 7minit kemudian, bertemulah kami dengan akak yang membuka kaunter ala-ala kaunter bas tambahan di sebelah parkir bas. Jawapan akak itu sungguh meyakinkan bahawa bas perlu ditunggu di terminal bas nombor enam seperti yang kami jangkakan. Maka berjalanlah kami kembali ke terminal bas nombor enam seperti yang diberitahu. Setibanya kami di sana, kelihatan tempat itu sangat mencurigakan; suram dan sekadar tempat untuk bas berhenti di tepi jalan. Deja yang sangat kasihan melihatkan aku yang seperti kurang upaya ini pergilah bertanya untuk memastikan sama ada tempat menunggu itu betul seperti yang sepatutnya. Jawapan yakin daripada pihak pakcik yang ditanya sedikit menambah keyakinan untuk terus menunggu di situ meskipun itu masih belum cukup untuk menenangkan hati kami.

Dan dengan rasa ragu-ragu, kami pun menunggu bas di tempat yang ditunjukkan. Tiket bas tertulis jam 10.29 malam. Malangnya, sehingga jam 10.32 malam bas masih tidak kelihatan. Namun, tepat jam 10.35 malam, bas menuju ke arah kami dan tertulis ke Yamaguchi di hadapan bas tersebut. Dengan rasa seronoknya kerana bas telah tiba, aku sedikit lega. Tak disangka-sangka, bas tersebut sekadar lalu di situ tanpa mengambil aku. Aku dan Deja terkelu membisu. Lantas Deja cuba menenangkan keadaan dengan mengatakan bahawa mungkin bukan bas itu yang menjemput aku. Kami berkeputusan untuk menunggu sehingga 10.45 malam. Dan benarlah seperti jangkaan kami, tempat menunggu bas bukanlah di situ seperti yang diperkata oleh orang-orang yang ditanya oleh kami.

Deja telah membuat rancangan kedua iaitu dengan mengajak aku bermalam di rumah juniornya di Osaka sebelum balik esok hari. Aku yang kecewa sekadar mengangguk lemah. Sambil menuju ke stesen semula, Deja yang masih bersemangat mengajak aku bertanya semula kepada akak yang tadinya berada di sebelah parkir bas. Dan malangnya, akak itu telah berlalu pergi beserta dengan meja-mejanya sekali. Maka hampa lah aku untuk kali seterusnya.

Sambil penat menaiki tangga, Tuhan mengurniakan ilham supaya mencuba nasib mengejar bas sehingga ke Terminal Bas Sannomiya,Kobe. Deja agak ragu-ragu dengan usulku itu, namun berdasarkan jadual keretapi cepat yang ada,die menjadi yakin bahawa aku sempat mengejar bas itu. Dan berpisahlah Deja dengan ku di stesen Osaka. Aku sekadar tersenyum tawar sambil berterima kasih kepada Deja kerana sudi menemani ku setengah harian. Deja sempat berpesan agar aku menghubungi teman-teman ku di Kobe andai kata aku gagal mengejar bas. Aku sekadar menjawab ok.

Sesampainya di Terminal Bas Sannomiya, masa masih berbaki 20 minit. Aku bertanya kepada pakcik di terminal itu tentang bas ku dan dia menjawab bas ku akan datang di pintu nombor enam. Maka selamatlah aku menaiki bas di Terminal Bas Sannomiya,Kobe pada jam 11.55 malam.

Sesungguhnya, rehabilitasi ini tersangatlah panjang. Bermulanya seawal jam 6 pagi dan berakhirnya selewat 11.55 malam. Meskipun masih ada rehat di antaranya, namun jangka masa yang diambil untuk aku berjalan sangatlah panjang dan memenatkan. Namun aku berharap, perjalanan ini tidak sia-sia. Dan Deja, terima kasih atas segalanya. Segala budi mu hanya dapat ku balas dengan ucapan jutaan terima kasih.

Kredit untuk Deja atas segala layanan.

p/s - untuk Ee yang kerek dan tak dapat hadir menyertai aku dan Deja, nombor fon aku tu kalau kau rasa tak perlu, kau buang je

Sunday, June 15, 2008

rehabilitasi paling panjang

Kobe Hana Dokei

Tuhan telah menyusurkan aku ke jalan panjang ke Kobe dan Osaka pada Jumaat lalu, 13 Mei 2008.

i
Dalam kedaaan yang serba kelam, suasana di stesen bas Ube Chuou, Yamaguchi itu tidak begitu menyenangkan aku. Selepas kejadian amuk di Akihabara tempoh hari, aku berasa sangat gusar dan rimas. Bas yang sepatutnya bertolak pada jam 10.46 malam masih lagi tidak kelihatan. "Apa benar ini tempat menunggu bas yang sebetulnya kah? Mana mungkin bas di negara Jepun ini lewat barang seminit.",aku monolog sendirian. Antara tenang dan tidak, aku cuba meyakinkan diri bahawa jalan sedikit macet lalu bas sedikit lewat, barangkali. Dengan sedikit sabar, bas datang pada jam 10.49 malam. Aku tidur di dalam bas dan perjalanan ku pun bermula.

ii
Aku tiba seawal jam 6 pagi di terminal bas Sannomiya, Kobe. Pagi-pagi begini tiada apa yang lebih menyerlah selain perut ku yang kelaparan. Berbekalkan onigiri dan Coffee Latte, aku bersarapan untuk mengalas perut. Dan rehabilitasi ku pun bermula.

Aku berjalan kaki selama lebih kurang selama sejam lebih untuk ke Harbour Land. Sekadar membuang masa untuk menanti jam 9.30 pagi. Sambil berjalan-jalan itu, aku sempat singgah di Hana Dokei (jam bunga) bersebelahan dengan Kobe Shiyakusho untuk mengambil gambar kenang-kenangan. Perjalanan tak ku rasakan jauh kerana pagi masih awal dan aku berjalan tanpa sebarang tekanan.


Tiba di Harbour Land pada jam 8 pagi. Laut begitu menyenangkan; melupakan aku pada masalah dan mengingatkan aku pada keindahan ciptaan-Nya. Memandangkan ada sejam setengah lagi sebelum 9.30 pagi, setelah puas mengambil gambar dan menghirup udara laut, aku berkeputusan untuk berehat-rehat di taman Harbour Land sambil membaca novel. Udara pagi sangat menyamankan dan menenangkan jiwa. Setelah sekian lama aku tak merasakan begini, aku mula merasakan rahmat perjalanan jauh ini.

iii
Urusan selesai pada jam 11. Aku berkira-kira masa untuk solat jumaat dan bertemu teman lama yang sudah 3 tahun lebih tidak bertemu. Kaki sudah menunjukkan tanda-tanda letih. Maka aku berkira-kira harus bersegera ke Masjid Kobe agar dapat berehat. Kembali ke Stesen Keretapi Sannomiya dan mula mencari peta untuk ke masjid. Puas mencari-cari tak ketemu, tiba-tiba ditegur seorang pakcik. "Mahu ke mana, nak?",tanyanya dalam bahasa Jepun. Lantas aku segera menjawab mahu ke masjid. "Tadi pun ada enam orang tanya jalan nak pergi masjid. Anak ikut peta ni. Dari sini, anak seberangi jalan depan ni dan anak akan nampak papan tanda Dikku yang besar tu", katanya sambil menunjuk ke arah bangunan besar di seberang jalan berpapan tanda Dikku. Aku mengangguk faham. "Anak ikut jalan di hadapan bangunan Dikku menuju ke sebelah kiri. Terus sehingga anak bertemu dengan kedai Toukyu Hands. Kemudian, anak terus lagi sehingga nampak kedai serbaguna Lawson di sebelah kanan jalan. Anak belok ke kanan dan terus naik bukit sehingga bertemu bangunan NHK Kobe pula. Anak terus lagi sehingga berjumpa Kitano Meister Garden di sebelah kiri, anak belok kanan masuk ke Pearl Street. Masjid ada di jalan itu." Aku lantas mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi. Mulia sungguh pakcik itu. Menunjukkan jalan kepada ku untuk ke masjid. Malah untuk sesiapa sahaja yang dirasakannya sedang mencari arah jalan.

Kali pertama ke Masjid Kobe, 2 tahun yang lalu ketika aku di tahun pertama pengajian. Ini yang kedua kalinya; pertama kali bersolat jumaat di masjid semasa di Jepun. (di kawasan ku belum punya masjid lantaran khalayak Islam yang tidak ramai) Setibanya di perkarangan masjid aku disapa salam muslim setempat. "Mesra sungguh masyarakat di sini", gumamku seorangan. Begitu juga ketika sepanjang jalan ku ingin mengambil wuduk, aku disapa salam berulang-ulang kali. Aku berbasa basi sambil bertanyakan tempat meletak kasut.

Usai solat jam 2 petang, aku lantas sms ke temanku memberitahu aku sudah mahu berangkat ke stesen keretapi. Dan kami berkira-kira untuk bertemu di stesen Umeda, Osaka.

bersambung...

Thursday, June 5, 2008

wawasan dan cabaran

Anda seorang yang berwawasan tinggi?inginkan cabaran?Dan sangat bersedia untuk lakukan perubahan?

Marilah tinggal di Malaysia.Anda pasti kan merasa perubahan dan cabarannya.

1.Tarif elektrik, kata beliau, turut dinaikkan “bertujuan meningkatkan kecekapan pasaran dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjimatkan sumber tenaga”.

2.“Lagi pun harga baru petrol dan diesel yang diumumkan hari ini masih lagi yang terendah di rantau ini.''

3.“Langkah berjimat ini bukan untuk kita menjadi kedekut, tetapi jangan sampai berlaku pembaziran. Kita mesti kurangkan pembaziran dalam apa jua perkara yang ada hubung kait dengan kehidupan,”

4.“Kalau kita sedia buat perubahan dalam cara hidup dan buat penjimatan, insya-Allah kita tidak akan hadapi kesan yang teruk sangat.”

5.“Bila masa susah kita kenalah sama-sama susah, bila masa senang kita sentiasa saling membantu.”

6.“Subsidi masih diberikan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban rakyat. Malah, kita masih memastikan harga bahan api di Malaysia adalah antara yang terendah di rantau ini,”

7.'Dalam tahun hadapan ini, kenaikan berterusan harga minyak dan komoditi dunia akan meningkatkan beban. Namun subsidi masih terus diberikan iaitu kerajaan tidak membiarkan rakyat terpaksa membeli semua barang mengikut harga pasaran, kerajaan tetap membantu,"

Nantikan episod-episod akan datang yang bakal menggemparkan poket dan jantung anda bila-bila masa.

updet 10 jun 2008

1)Ini baru betul susah senang kita bersama

2)Utamakan kecekapan dan pelaksanaan. Masa untuk bekerja bersama-sama beliau,bukan untuk beliau.INGAT! BerSAMA-SAMA beliau, bukan UNTUK beliau!