Daisypath Wedding tickers

Thursday, December 24, 2009

Keindahan Abadi

Kau, bukan umpama bianglala indah;
hanya ada, bila ada titis air udara dan cahaya.

Kau, indah kerana indahnya budi dan agamamu.

Monday, December 14, 2009

Hidup berkerjaya

Hidup berkerjaya.

Bukanlah seindah hidup di alam studi,
alam baru yang penuh tragedi,
politik dan sensasi,
dugaan tak terduga menanti,
berkisah cinta dan hati,
semuanya berpadu sebati,
menambah satu lagi warna dalam hidup penuh warna warni.

Sunday, November 22, 2009

TAG

Kepada Nas Ahmed,aku buat la tag ko. Sian gak aku tgk blog ku ini yg dah bersawang di sana sinun.

1.Bekas kekasih saya adalah :
tiada

2.Saya sedang mendengar :
bunyi tv dr tingkat bawah rumah sewa.

3. Mungkin saya patut :
kemas bilik sekarang. sebab baru sahaja balik dari kampung tercinta.

4. Saya suka:
sastera dan muzik. tapi,sejak kerja kilang ni, dah tiada masa yang banyak utk banyak perkara kesukaan.

5.Sahabat-sahabat baik saya:
yg berkerja di Konica melaka sekarang ni. Rakan2 sekolah, dah ramai yg terputus kontek. huhu

6.Saya tak faham :
kenapa saya masih keseorangan? mungkinkah masih mencari bidadari syurga yg berada di bumi? (sedangkan diri masih lagi menjadi konco2 tak rasmi kepada syaitan?)

7.Saya kehilangan :
laptop, kenangan hidup di jepun dan kebebasan melakukan kemalasan.

8.Ramai yang berkata :
muka cam aziz m osman. suara cam zamani (kdg2 faizal tahir)
saya selalu hepi. tp menakutkan kalau saya marah.haha

9.Makna nama saya :
bersih atau pintar/cerdik

10.Cinta itu adalah :
pertautan dua hati yg punya batas2 tertentu dalam pergaulan dan semestinya cinta itu tidak membutakan hati dan mata org yg bercinta dari terus melakukan tanggungjawab dan amanah yg diberikan

11.Di suatu tempat, seseorang sedang :
berperang dengan kezaliman dan kita di sini masih lagi gagal dalam berperang dengan nafsu

12.Saya akan cuba :
menjadi org yg berguna utk org lain di masa akan datang

13.Ayat SELAMANYA membawa maksud :
sentiasa,berterusan hingga akhir hayat.

14.Telefon bimbit saya :
sony ericson W580i
kaler kelabu

15.Bila saya terjaga dari tidur :
tengok jam kat henset.
pastu tgk bilik air ada org ke x.(blk air share ler beb!)

16.Saya paling meluat apabila :
org lain yg wat keje, org lain yg dpt nama.

7.Pesta/Parti adalah :
makan dan minum sambil rasa hepi

18.Haiwan yang paling comel yang saya pernah temui ialah :
kucing

19.Peringkat umur yang paling menyeronokkan bagi saya ialah:
tingkatan 3.

senior bagi junior(form 1 dan 2), member kepada tingkatan 5

20.Hari ini :
pening kepala drive g olak batu kat ayer hitam. ada kenduri kahwin. makin berisi la badan dan perut ku ini. haha


21.Malam ini saya akan :
tidur utk rehat. sbb esok dah kembali bekerja.


22.Esok pula saya akan :
kembali bekerja dan melakukan ujian2 lagi untuk penambahbaikkan kualiti glass substrat yg dihasilkan konica

23.Saya betul-betul inginkan :
laptop utk mengelakkan terus menumpang internet di bilik kawan

24.Ketika anda lihat wajah anda di hadapan cermin pagi ini :
letihnya hidup macam ni. bila nk berubah ke arah yang lebih baik?

25.Pusat membeli-belah atau arked permainan :
pusat membeli belah yg ada kedai buku

penat2 jalan,leh berhenti membaca sambil berehat

26.Makanan Barat atau Jepun:
Jepun. rindu sushi

27.Bilik yang terang atau gelap :
sederhana. lebih romantik dan fleksibel

28.Makanan segera adalah :
makanan yg leh dimakan dengan segera

29.Ayat terakhir yang anda katakan pada seseorang?
salam.

30.Siapa yang anda mahu tag??
sesiapa yg berkenan dan berhajat nak buat

Saturday, July 25, 2009

Badar Metropolitan?



Bakal menemui anda pada Ogos ini.

Harga : RM15.00

Saturday, June 20, 2009

Sekilas air

Sesungguhnya penantian itu suatu penyeksaan.

`Penantian suatu seksa yang tidak tertanggung
oleh tubuhku yang kering dan layu
Kepastian suatu penawar dalam suka dan duka
yang meniti hidupku
`

Penantian oleh Zubir Ali

Maka pada tanggal 1hb Jun 2009, tamatlah sudah penantian; setelah janji-janji manis yang dicurahkan ke telinga ku ini selama ini.

Selalunya, semua yang berlaku ada hikmahnya. Dan hikmah itu biarlah aku dan Dia yang tahu.

Semoga kekal dalam beriman dan berjaya dunia akhirat.

Sunday, April 26, 2009

Inilah dunia

I
Nasi lemak daging, megi, emboh dan ok.

II
KLIA, laptop, Fit dan Putrajaya.

III
AP, 25 kepada 30, 30 kepada 15.

IV
Doa, doa, doa. Dan tawakkal.

Friday, April 10, 2009

Mulakan dengan basmalah

Permulaan yang baik bukanlah penentu kepada kejayaan masa akan datang.

p.s - teruskan berusaha dan jangan lupa berdoa dan bertawakkal

Wednesday, March 11, 2009

Personaliti diri?

Inilah hasil ujian personalitiku. Benar atau tidak, ia memberi panduan secara umum supaya terus berusaha sedaya upaya dan fokus. Dan moga ku tak jadi 'OKU' (orang kurang usaha)

Your view on yourself:
You are down-to-earth and people like you because you are so straightforward. You are an efficient problem solver because you will listen to both sides of an argument before making a decision that usually appeals to both parties.

The type of girlfriend/boyfriend you are looking for:
You like serious, smart and determined people. You don't judge a book by its cover, so good-looking people aren't necessarily your style. This makes you an attractive person in many people's eyes.

Your readiness to commit to a relationship:
You prefer to get to know a person very well before deciding whether you will commit to the relationship.

The seriousness of your love:
Your have very sensible tactics when approaching the opposite sex. In many ways people find your straightforwardness attractive, so you will find yourself with plenty of dates.

Your views on education
Education is less important than the real world out there, away from the classroom. Deep inside you want to start working, earning money and living on your own.

The right job for you:
You have plenty of dream jobs but have little chance of doing any of them if you don't focus on something in particular. You need to choose something and go for it to be happy and achieve success.

How do you view success:
You are confident that you will be successful in your chosen career and nothing will stop you from trying.

What are you most afraid of:
You are concerned about your image and the way others see you. This means that you try very hard to be accepted by other people. It's time for you to believe in who you are, not what you wear.

Who is your true self:
You are full of energy and confidence. You are unpredictable, with moods changing as quickly as an ocean. You might occasionally be calm and still, but never for long.

Friday, March 6, 2009

5 kedai yang aku selalu nak masuk bila terjumpa

Ini adalah tag yang belum pernah kulihat di mana-mana. Dan secara jujur aku merasakan ia menarik. Terima kasih saudara rashid yang men'tag' aku. Kalau nak senaraikan kedai-kedai di Jepun sahaja, macam tak cukup lima. Maka, aku campur yang di Malaysia sekali.

1. MPH, Mid Valley
Salah satu tempat membaca buku kegemaran. Menggantikan perpustakaan yang tak pernah aku kunjung selepas tamat SPM 2002 (melainkan perpustakaan Universiti Yamaguchi yang aku tak berahi nak baca buku-buku di situ kerana semuanya berkanji) Banyak buku yang boleh dibaca dan dengan suasana santai; meningkatkan lagi nafsu pembacaan. Terakhir dilawati pada 2005.

2. Pasaraya Trial, Ube
Pasaraya "macam-macam ada" yang menawarkan harga barang-barang dapur dan keperluan dengan harga yang sangat murah. Sangat memuaskan hati dan merupakan satu rahmat kepada sesiapa yang ingin berjimat meskipun berbelanja banyak. Satu lagi keistimewaannya, pasaraya ini dibuka 24jam!

3. Joyfull
Restoran makanan Jepun yang menawarkan pakej "minum sampai kembung" ini merupakan tempat makan kegemaran pelajar-pelajar Malaysia di sekitar kawasan Yamaguchi ni. Juga pengganti kepada mapley sebagai tempat borak-borak dan bercerita kerana restoran ini dibuka 24jam.

4. Kinokuniya, KLCC
Kedai buku yang ekslusif. Bagi aku yang kurang meminati KLCC kerana pengunjungnya yang terlalu ekslusif, kedai buku ini adalah salah satu kedai buku yang mesti disinggah. Kunjungan terakhir pada 2005.

5. Kedai Sushi, Ube
Sejak 2006, sushi telah menjadi satu lagi makanan kegemaran aku. Rasa ikan-ikan segar memang menyelerakan. Dicecah dengan kicap bercampur wasabi, memang cukup meliurkan.

Dan aku ingin menerusan tag ini kepada:-

Apros
Tiqah
Kak Hani Salwah
Fizah

Thursday, March 5, 2009

Jamuan Perpisahan @ Sobetsukai II

11 Februari 2009, Selasa.

Hari itu bermula dengan aman, nyaman dan tenang. Aku yang berhasrat untuk tidak ke gakko hari ini kerana telah berniat dengan diri untuk fokus pada tesis di rumah mula berasa bahawa tindakan yang kuambil itu amatlah tepat. Dan aku teruskan hari ini dengan bergelumang dengan tesis dan segala-gala yang berkaitan.

Sehinggalah hiruk-pikuk mula kedengaran pada jam 11 pagi. Barangkali persediaan untuk malam ini; Majlis Perpisahan @ Sobetsukai untuk senior-senior yang bakal graduasi pada Mac tahun ini. Aku cuba abaikan bunyi bising dan riuh-rendah yang semakin lama semakin galak dan 'meriah'. Namun, semakin lama bunyi itu menghilangkan fokus ku pada tesis. Resah dengan hingar-bingar yang kutahu bakal berterusan sehingga ke petang hari, pintu rumah kukunci agar tiada sesiapa yang akan datang mengganggu biarpun dengan niat untuk bertegur sapa. Telinga kusumbat dengan fon telinga sambil mendengar lagu-lagu lain yang mampu memberi fokus pada tesis, bukannya pada hilai tawa dan borak mereka. Dan petang itu pun berakhir dengan satu lagi takah tesis dapat dicapai dalam proses menyiapkannya.

Tanpa kusedari, jam sudah menunjukkan 7 malam. Beberapa suara yang masih lagi kedengaran di luar rumah membuatkan aku menyangkakan bahawa jam baru sahaja pukul 6 malam. Majlis akan bermula pada jam 7.30. Aku menjadi kabut. Baju dan gaya bagaimanakah yang harus kudandan diri ini bagi memberi penghargaan kepada semua yang menjayakan majlis? Dalam keadaan yang agak gelabah, aku mula menelefon kepada rakan segraduasi untuk bertanyakan jenis dandannya. Dan bagi aku yang tak tahu bergaya dan berdandan ini, dengan baju yang terhad dan tidak ekslusif, tidak banyak gaya yang mampu aku fikirkan. Setelah membelek-belek baju sedia ada dan masa yang semakin suntuk, lantas aku berbaju melayu lengkap bersampin tanpa songkok berkot. Kot itu lebih kepada penambah haba memandangkan cuaca yang agak sejuk pada malam itu. Dan aku pun melangkah ke majlis pada jam 7.30.

Setiba di majlis, majlis belum bermula kerana masih ada yang belum tiba. Terutamanya tetamu-tetamu yang diraikan. Setelah itu ini untuk kemasan dan persiapan akhir, majlis bermula pada jam kurang lebih 8.30. Pada kaca mata biasa dan pemikiranku, acara majlis ini akan jadi seperti setiap tahun. Ucapan daripada pihak yang diraikan, pembahagian cenderahati, makan-makan, sesi bergambar, tamat.

Namun, aku mula merasakan kelainan majlis bilamana usai ucapan daripada pihak yang diraikan, tiada sebarang cenderahati diberikan. Ucapan dariku yang langsung tak tersusun butir bicara hanya dapat kusimpulkan dalam bentuk pantun yang agak banyak; lima rangkap kesemuanya. Seharusnya dua rangkap sudah memadai. Namun, berdiri di depan khalayak yang bakal aku tinggalkan di bumi Jepun dan belum tahu bila kan berjumpa semula, lidahku bagaikan terkelu dan kaku. Tak mampu berfikir akan semua itu kerana perasaan sebak sudah beraja di seluruh badan tika itu. Biar apapun yang terungkap dan terucap di majlis itu, aku ingin memohon maaf kepada semua warga Yamadai andai ada yang terguris hati dan perasaan oleh kata-kata mahupun tingkah laku diriku. Andai ada hutang yang masih belum kulunaskan; ingatkanlah. Bakal aku lunaskan. Tak mampu kusebut nama satu persatu ketika majlis kerana rasa gemuruh turut menyerbuku ketika di podium itu. Maafkan aku.

Majlis diteruskan dengan acara santap sampai kenyang. Menu kampung menjadi menu malam itu. Amat enak dan mengenyangkan. Aku sekali lagi kehairanan kerana ketika tetamu sedang sibuk bersantap, penganjur majlis tidak kelihatan. Sekadar beberapa orang yang turut makan bersama kami selepas menyusun kerusi dan menyediakan props. Tiba-tiba lampu dipadam dan saudara Wan mengambil alih peranan pengerusi majlis. Dan watak demi watak muncul bersketsa. Setiap watak menggambarkan sikap dan 'ayat-ayat best' yang pernah diungkapkan oleh setiap orang yang diraikan. Sambil bergelak ketawa melihat 'aksi sendiri' pada satu ketika dulu, aku seakan kagum dan terharu atas usaha penganjur majlis tahun ini. (Kreatif dan menarik.)

Dan tambah mengharukan, tayangan gambar-gambar lama yang dijadikan video membaurkan sejuta satu perasaan. Semuanya bercantum menjadi satu. Gambar-gambar aksi pelik dan perbezaan daripada tahun ke tahun amat menggeletek hati semua. Idea baru bagi majlis seperti ini di Ube.

Dan selepas itu barulah cenderahati disampaikan kepada semua yang diraikan. Tapi, bukan nama sahaja disebut, setiap nama dibubuh dengan gelaran berdasarkan fiil masing-masing. Sempai Paling Slumber; Pesot, Sempai Paling Ekonomi; Kreng, Sempai Anak Emas Syachou; Mame, Sempai Beg Tangan Paling Mahal; Pai. (maaf Kak Yati, tak ingat 'anugerah' untuk akak)

Kusangkakan majlis sudah berakhir, namun ada juga acara kota beracun. Niat untuk mengenakan semua yang diraikan nampak jelas di muka tantou acara itu; Pojik dan Matnor. Aku hampir-hampir dikenakan. Namun nasib menyebelahiku meski empat orang di kiri dan kanan ku tidak terlepas daripada niat jahat pengatur acara. Sempatlah bergelak ketawa sambil hati berdebar-debar setiap kali kotak beracun berada di tangan dan muzik seakan-akan ingin berhenti. Satu lagi idea kreatif untuk acara beramai-ramai selepas ini.

Sesungguhnya, aku benar-benar rasa terharu dan kagum atas usaha penganjur untuk memastikan majlis ini berjalan lancar dan berjaya. Terima kasih sekali lagi. Semoga majlis perpisahan ini bukan menjadi titik pertemuan terakhir yang memisahkan kita untuk selamanya. Kalaupun tak mampu bertemu di dunia, semoga kita bertemu kembali di syurga nanti. Dan aku doakan semoga kita semua berjaya dengan jalan hidup masing-masing. Dan kenangan di Ube ini takkan terluput dari ingatan kita semua. Wassalam.

gakko - sekolah (budaya Jepun memanggil universiti sebagai sekolah dalam perbualan seharian)
Yamadai - Yamaguchi University
Sempai - senior
Syachou - bos
tantou - ahli jawatan kuasa

Thursday, February 12, 2009

Jamuan Perpisahan @ Sobestukai

Perasaan yang berbaur tak mungkin dapat disembunyikan. Biar apapun perasaan yang terpendam dan terzahir, berikut adalah pantun-pantun yang telah dibacakan semasa ucapan di dalam majlis. Pantun yang telah dipilih untuk mengungkaikan perasaan yang tak mampu tersusun menjadi butir bicara yang sempurna. Terima kasih kepada pihak penganjur dan yang menjayakan majlis.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.


Orang Aceh sedang sembahyang,
Hari Jumaat di tengah hari;
Berpisah kasih berpisahlah sayang,
Pandai-pandailah menjaga diri.


Inang-inang padi pak daik,
Bunga padi tak sama bentuknya;
Sungguh dikenang budi yang baik,
Takkan dilupa selama-lamanya.

p/s - Laporan penuh (mungkin) akan menyusul beberapa hari kemudian.

Tuesday, February 10, 2009

Kasih Seorang Seniman

Kasih seorang seniman
Lebih wangi dari mawar
Walaupun hati insan
Telah padam dan tawar

Kasih seorang seniman
Lebih bersih dari awan
Biarpun halilintar
Sering membelah perasaan

Kasih seorang seniman
Lebih tajam dari pedang
Walaupun luka perjuangan
Sering menjadi bekalan pulang

Kasih seorang seniman
Lebih setia dari karang
Biarpun ombak lautan
Sering menghempas penderitaan

Kasih seorang seniman
Bukan ubi dan batas
Kerana bumi Tuhan
Lebih berbudi dan luas

Kasih seorang seniman
Adalah kasih saudara

- Isa Kamari -

Dan andainya setiap insan bersifat kasih seperti Kasih Seorang Seniman...

Friday, February 6, 2009

Ulangtahun ke-4 Kapasitor

Video ulangtahun Ke-4 Kapasitor di Gua.com

Satu lagi komuniti sastera dan seni di alam maya. Saksikan dan nikmatilah!

Thursday, February 5, 2009

Lompat Katak



Lompat si katak lompat,
lompatlah tinggi-tinggi;
cepatlah 'adik' cepat,
cepat-cepatlah lompat parti.

“Jangan hanya pintar mengeluarkan kenyataan politik tetapi realiti politiknya harus kita hadapi,” katanya. - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Sumber;
1. MB Perak yakin keputusan Sultan adil - Berita Harian Online
2. Kurang bijak bawa wakil rakyat berkualiti rendah: Tun M - Berita Harian Online
3. Kronologi politik di Perak - Berita Harian Online
4. Adun Bota sertai semula Umno - Berita Harian Online
5. Wajar diadakan pilihan raya semula di Perak - Nik Aziz - HarakahDaily.Net
6. Nasaruddin sertai semula UMNO untuk kuatkan kerajaan Perak - Utusan Malaysia Online

Friday, January 30, 2009

Tersasul

Pernahkah anda tersasul tanpa anda sedari? Pernahkah kawan-kawan anda mentertawakan anda bila anda tersasul tapi anda masih tak menyedari? Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang sasul ini.

Kenapa tersasul?

Menurut Kamus Dewan versi internet, sasul atau tersasul membawa erti terlajak (perbuatan, perkataan, dll), terlangsung, terlebih (drpd sepatutnya)

Kalau diperhatikan satu persatu definisi yang jelas dan terang itu, maka akan fahamlah kita bahawa setiap perkataan yang didefinisikan itu berimbuhan 'ter' di depannya. Oleh yang demikian, haruslah kita sedar dan ingat bahawa setiap yang berimbuhan 'ter' itu selalunya bersifat tak sengaja atau dalam erti kata lain, di luar kawal. Contohnya, perkataan 'tawa' apabila dibubuh imbuhan 'ter' didepannya, maka perkataan itu akan menjadi 'tertawa' yang membawa pengertian ketawa tanpa disengajakan dan tanpa kawalan. (mungkin kerana terlalu kelakar, komedi, mencuit hati, dsb) Begitu juga dengan perkataan 'siar' yang bilamana dibubuh imbuhan 'ter' didepannya, maka perkataan itu akan menjadi 'tersiar' yang membawa maksud tarikh, masa dan tempat siar itu tidak boleh dikawal oleh diri sendiri. Ada kuasa lain atau autoriti yang akan menentukannya.

Untuk terus memahami maksud perkataan ini, mari kita sama-sama ikuti kisah benar di bawah ini.

Dan di suatu petang yang suci tanpa badai dan taufan, arakian diceritakan bahawa telah tersasul lah sang penutur bicara di dalam surau (untuk Asar dan Maghrib) yang mulia lagi berkat. Sedang akal ingin berkata kelabu maka meluncurlah kalbu dengan lajunya selaju kilat di udara tanpa disedari si pembicara. Teramatlah yakin dan tersangatlah jelas didengar oleh yang mendengar meski sedecit pun tak terdengar untuk menjentik rasa penutur bicara. Lantas ditegur si tuan punya gegendang yang bergetar,

" Haa, kau sebut apa tu?! Warna apa?!"
" Warna apa pulak? Sama macam kereta Anas la."
" Itu aku tahu. Yang kau sebut tadi tu warna apa?"
" Kalbu."
" Haa, kalbu jadahnya! Kelabu! HAKHAKHAK!"

Maka terdekah-dekahlah empunya gegendang getar dengan bersungguh-sungguh kerana ketersasulan si penutur kata. Dan sang penutur bicara hanya mampu tersenyum sipu kerana lidahnya tersilap membuka langkah.


Apakah yang sebenarnya bermain di fikiran si penutur bicara hinggakan warna tahi anjing itu didekatkan ke dalam jiwa? Sama-sama kita renung, fikir dan komenkan.

Sunday, January 18, 2009

Warkah Untuk Pesot

Menemui sahabatku, Pesot@Piere Andre yang kini berada di Orenji Heights,Ube. Semoga kau sihat hendaknya.

Tujuan aku menulis warkah ini adalah untuk menceritakan tentang mimpi-mimpiku yang berkisar di sekitar ruang lingkup hidupmu. Sudi-sudikanlah membacanya hingga tamat kerana jarak rumah kita yang terlalu jauh, dan keadaan hidupmu yang terlalu sibuk hinggakan beratus-ratus saat, malah berjuta saat kita tak dapat bersua muka dan bertanya khabar. Lalu kuutus surat ini tanpa setem dan pejabat pos melalui blog ini.

Pesot,
Ketika kau sedang membaca warkah ini, aku mungkin sedang nyenyak tidur bermimpikan kau membeli Subaru Impreza datang ke parkir Sunshine (apartment) lalu membuat donut menggunakan tayar empat ketul kereta mu sehingga seluruh warga Sunshine bersorak meraikanmu. Atau mungkin Honda Civic Type R. Atau mungkin Honda Integra Type R. Aku juga mungkin bermimpikan persandinganmu dengan jiran cik Zorita Shamsudin (bukan nama sebenar). Mungkin juga aku bermimpikan kau mendapat gelar Tun kerana jasa dan sumbanganmu kepada bangsa dan negara. Entah lah Pesot, kalau diingat-ingatkan kembali, terlalu banyak wajahmu muncul mengganggu tidurku. Barangkali sejak kau menceritakan bahawa kau membaca blog-blog penduduk kampung Ube. Lantas mencambahkan benih idea untuk menulis warkah ini kepadamu.

Wahai Pesot,
Aku amat berharap, agar kau tak lagi meracun mana-mana jiwa tulus dan murni yang sedang membaca kanji. Biarkanlah jiwa murni itu membaca kanji dengan muka bersemangat penuh tulus dan kudus. Biarkan, biarkanlah. Selagi dia bukan otaku yang tak mahu kenal dunia lain selain dunianya sendiri. Dan andainya kau bertanya tentang kelas-kelas agama yang semakin berkurang di tahun ini berbanding tahun lalu, soalan-soalan tentang kelas itu tak mampu aku balasi dengan jawapan kerana ia di luar bidang kuasa ku. Aku tahu, kau amat merindui kelas-kelas itu. Di musim tesis ini, aku tak mampu mengaturnya. Namun andai kau benar berharap, akan aku tanyakan pada yang berkenaan tentang kelas di waktu cuti musim bunga nanti. Malah, akan aku berikan nombor telefon mu padanya, moga lebih senang kau berurus dengannya. Barangkali kau bisa juga bertanya pada sahabatmu, soB (bukan nama sebenar) yang masih belum berjaya mengajak mu ke khemah ibadah di setiap cuti panjang. Mungkin benar katamu, setiap kem itu kauhadir dengan berwakilkan dia dan kerana dia menceritakan kembali setiap yang didapat dari kem itu. Maka, kau juga mendapat ilmu yang sama. Maka kerana itu, kau juga harus ajarkan kepada kami semua yang telah kau dapat darinya. Dan apakata sekiranya kau sendiri yang menganjurkan kelas-kelas agama yang kau minta? Apa katamu? Beranikah?

Duhai Pesot,
Sebelum ku akhiri warkah ini, ingin sekali aku berterima kasih kepadamu kerana membawa kawan-kawan lain menjengukku ketika aku bermastautin di hospital tahun lalu. Dan kau juga yang mententeramkan keadaan ketika berada di tepi gaung maut yang telah menimbulkan keinsafan seketika kepada rakan-rakanku tentang mati dan keluarga. Dan ketika kereta terparkir di tepi sawah, kau juga turut sama terparkir. Terima kasih untuk segalanya. Sehingga tamat pengajian nanti, bersama-samalah kita warnai dunia Ube dan seisinya dengan memori-memori indah dan bernas. Sampai ketemu lagi di warkah yang lain bersama isi-isi baru (bukan mimpi barangkali).

Sekian, wassalam.

Yang benar,
Lupang@Aziz M Osman

* otaku - klik sini untuk maksud dari wikipedia

Thursday, January 15, 2009

MAJLIS DISKUSI KARYA MANTAN MPR 2009

Majlis Diskusi Karya Mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) kembali lagi. Majlis kali ini akan diadakan dengan kerjasama Alumni Minggu Penulis Remaja dan Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pihak Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) dengan sukacitanya menjemput semua ahli kelab alumni, para penulis, pembaca, penelaah, pemerhati, peminat dan pencinta ilmu sastera tanah air untuk menghadiri majlis ini.

Tarikh: 17 Januari 2009 (Sabtu)
Jam: 8.30pagi - 12.30tghari
Tempat: Dewan Seminar, Aras 2, Menara DBP
Tema Pakaian Mantan : MERAH

Sesi 1 (Karya Eceran & Novel)

Diskusi puisi eceran dibicarakan oleh Professor Rahman Shaari

Karya-karya yang akan didiskusikan:
1. SESUMPAH – FIRDHAUS HASSAN (Tunas Cipta)
2. DI TEDUHAN SEBUAH POHON KEMERDEKAAN – NISSA' YUSOF (Mingguan Malaysia)
3. DOA YANG BUNGKAM – AZREE ARIFFIN (Mingguan Malaysia)
4. GURINDAM DAMBAAN INSANI – NOR AFIQAH BINTI MOHD SIDEK (Berita Minggu)
5. PELANGI INDAH DI LANGIT BIRUMU – FARAHANA HUSSEIN (Al-Islam)
6. PENOMAD CINTA – NURUL 'IZZAH ZAINOL (Berita Minggu)
7. HUJAN PAHALA II – ZAKI JOHARI ( Berita Harian)
8. MERINDUIMU – ODE (Berita Minggu)
9. MARSUM RALAT DARIPADA AL-AZIZ – NASRIAH ABDUL SALAM (Mingguan Malaysia)
10. MERDEKAKAN HATIMU – AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN (Tunas Cipta)


Diskusi cerpen eceran dibicarakan oleh Dr Mawar Shafie

Karya-karya yang akan didiskusikan:
1. GERAI PISANG GORENG ABAH - AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN (Tunas Cipta)
2. KERETA PUNYA ANGKARA – AIDIL KHALID (Tunas Cipta)
3. MAHAKARYA SEORANG PIDANA – ZULFAZLAN JUMRAH (Tunas Cipta)
4. SRENGENGE - NAI BOON MEE SARARAKS (Tunas Cipta)
5. INFILTRASI GALAKSI – M.F KENCANA (Tunas Cipta)
6. KERANA AKU BUKAN RABIATUL ADAWIYAH – SAYIDAH MU'IZZAH KAMARUL SHUKRI (Tunas Cipta)
7. SKIZOFRENIA – AZREE HANIFIAH (Tunas Cipta)
8. TUAH DAN KUCING PUTIH – MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR (Tunas Cipta)
9. TENGGELAM DALAM KEREDHAAN – NABIHA M. MASHUT (Tunas Cipta)
10. TERIMA KASIH UNTUKMU – HANI SALWAH YAAKUP (Tunas Cipta)
11. BEZA DUA WAJAH – SAPIAH BT DERAHMAN (Antologi Palestin)

Novel BUKAN YANG PERTAMA karya Salina Ibrahim
dibicarakan oleh Dr Rosnah Baharudin


Sesi 2 (Kumpulan/Antologi Cerpen)

Antologi cerpen KACAK JELITA dibicarakan oleh Encik S.M.Zakir

Kumpulan cerpen ESPRIT DE CORPS karya Nimoiz T.Y
dibicarakan oleh Dr Amida Abd Hamid

Kumpulan cerpen UJANA RINDU karya Mohd Ashadi Saiman & Siti Hajar Mohd Zaki
dibicarakan oleh Dr Kamariah Kamaruddin


Sebarang persoalan, sila ajukan ke emel: aktivitimpr@gmail.com

* sumber dari blog Minggu Penulis Remaja

Thursday, January 1, 2009

Salam Maal Hijrah 1430H & Salam Tahun Baru

Salam Maal Hijrah 1430H dan Salam Tahun Baru 2009 kepada semua.

Selalunya, pada setiap pertukaran tahun baru inilah seribu satu azam, malah mungkin sejuta yang diazamkan. Namun, saban tahun, berapakah yang mampu dilaksanakan? Dan andai ada yang bertanya padaku tentang apa azamku di tahun baru ini, ingin kukata padanya, "Marilah kita untuk sama-sama berazam untuk berazam setiap hari dan menzahirkannya secepat mungkin tanpa perlu menunggu permulaan tahun baru dan bergantinya kalendar saban tahun."

Pasti ada yang berkata, aku cuba menyatakan kepura-puraan. Namun sedarlah, selagi kita terikat dengan retorik dan ritual supaya hanya berazam di tahun baru, selagi itulah azam-azam itu masih belum mampu membawa kita ke tahap yang lebih tinggi. Biar apapun azam kita semua, yang pastinya, kita mengidamkan sesuatu yang lebih baik untuk semua sama ada untuk diri sendiri, keluarga, agama, bangsa, mahupun untuk negara. Dan semoga kita berusaha untuk mencapai azam itu.

Selamat maju jaya!


Falsafah Cinta oleh Art Fazil

Cinta perlu berhati-hati
Cinta perlu menjaga diri
Cinta perlukan kepastian
Cinta bencikan kesangsian
Cinta perlukan kawan

Cinta itu janji setia
Cinta hidup selama-lama
Cinta suatu pengorbanan
Cinta suatu kepasrahan
Cinta perlukan teman

Insan oh insan
Hidup kerna cinta
Insan oh insan
Segala tercipta kerana cinta

Cinta punya harga diri
Cinta bersemangat murni
Cinta perlukan keikhlasan
Cinta suatu perjuangan
CInta untuk berkasih sayang
Cinta cinta, cinta cinta
Bukan lawan tapi teman
Cinta cinta
Untuk berkasih sayang
Cinta, segala-galanya cinta
Perasaan rindu dendam asmara lelah
Cinta, segala-galanya cinta
Cinta; lawan, cinta; teman
Berkasih sayang
Cinta cinta
Hanya kerana cinta di dalam cinta