Daisypath Wedding tickers

Thursday, October 16, 2008

Aku Terima Nikahnya


Biar seru yang memanggil, bukan mungil bibir atau comel rupa.

Sungguh-sungguh buku ini membuka minda. Moga-moga tulisan tentang isi buku ini dapat dikongsi bersama.

Cuba-cuba Kahwin

Perkahwinan bukanlah suatu percubaan atau tempat meraih pengalaman. Tiada konsep cuba-cuba berkahwin. Perkahwinan adalah satu perjanjian untuk memberi komitmen kepada pasangan dan keluarga. Juga bukan sekadar nafsu dan kasih sayang semata-mata tanpa memikirkan tentang tanggungjawab dan peranan.

Zuriat

Usah asyik bertanya berapa bilangan zuriat yang diingini tanpa memikirkan berapakah zuriat kita yang benar-benar menjadi 'manusia'. Dan juga proses serta cara untuk memanusiakan zuriat.

Antara Hak Dan Tanggungjawab

Kita perlu berusaha untuk menunaikan peranan dan tanggungjawab. Bukan asyik menghitung hak-hak yang masih belum diterima. Pasangan kita juga seorang manusia biasa, bukannya robot; tak punya perasaan dan sekadar menerima arahan sahaja.

Cinta Tanpa Syarat

Cintailah anak-anak yang lahir nanti tanpa syarat. Tanpa mengharap mereka akan menatang kita di waktu kita tua kelak. Ketahuilah bahawa mencintai dan menatang anak-anak itu adalah tanggungjawab kita kepada agama, bangsa dan negara. Bukannya sebagai pelaburan untuk kehidupan yang lebih menyenangkan di masa depan hasil bantuan anak-anak.

Antara Kenapa Dan Untuk Apa

Andai pasangan kita nanti bukan se'sempurna' yang kita inginkan, usahlah asyik bertanya kenapa kita dijodohkan dengan orang sebegitu. Tanyalah pada diri untuk apa kita dipasangkan begitu. Dan fikirkanlah bagaimana untuk mengatasi atau menghadapi rintangan yang ada.

Terdapat bermacam alasan dan cara untuk berkahwin. Namun, sebagai pandangan peribadi, berkahwinlah apabila masanya telah benar-benar sampai. Bukan kerana desakan nafsu atau persekitaran. Tidaklah saya katakan bahawa berkahwin awal itu dilarang dan ditegah. Cuma, saya berpendapat seelok-eloknya bergaullah dengan masyarakat dahulu sebelum mendirikan rumahtangga. Usahlah terburu-buru untuk berkahwin sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga. Fahami dulu selok-belok dunia luardan dunia berkahwin. Kumpullah aset sebelum berkahwin sebagai jaminan masa depan. Siapkanlah dirimu dengan persediaan serapi mungkin; zahir dan batin.

Biar bagaimana rupa pasangan kita nanti sekalipun, yakin dan percayalah; Tuhan tak pernah kejam dalam mengatur hidup kita.

2 comments:

cucutokjanggut said...

salam...

resensi yang menarik dari " Aku Terima Nikahnya ".

Pernah aku kupas suatu ketika dulu, tapi resensi yang kau bawa ini lebih matang dan terkehadapan..

sesuai dengan usia agaknya...hehe

resensi kau ini ibarat dari penyambung resensi dari aku

Zaki Isa said...

Memang aku akui aku tulis resensi ni sambil membaca resensi kau. Resensi kau pun menarik juga. Cara yang lebih santai berbanding aku. Lagipun aku tulis ni sebab rasa bersyukur; dapat buku ni percuma. (terima kasih banyak-banyak :-D) Maka, aku rasa aku perlu berkongsi dengan mereka-mereka yang tak dapat beli buku ni. Lagipun, aku jarang mem'bedah' buku. Sekali sekala, teringin juga nak 'bedah' buku-buku yang menarik macam ni.