Daisypath Wedding tickers

Friday, January 30, 2009

Tersasul

Pernahkah anda tersasul tanpa anda sedari? Pernahkah kawan-kawan anda mentertawakan anda bila anda tersasul tapi anda masih tak menyedari? Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang sasul ini.

Kenapa tersasul?

Menurut Kamus Dewan versi internet, sasul atau tersasul membawa erti terlajak (perbuatan, perkataan, dll), terlangsung, terlebih (drpd sepatutnya)

Kalau diperhatikan satu persatu definisi yang jelas dan terang itu, maka akan fahamlah kita bahawa setiap perkataan yang didefinisikan itu berimbuhan 'ter' di depannya. Oleh yang demikian, haruslah kita sedar dan ingat bahawa setiap yang berimbuhan 'ter' itu selalunya bersifat tak sengaja atau dalam erti kata lain, di luar kawal. Contohnya, perkataan 'tawa' apabila dibubuh imbuhan 'ter' didepannya, maka perkataan itu akan menjadi 'tertawa' yang membawa pengertian ketawa tanpa disengajakan dan tanpa kawalan. (mungkin kerana terlalu kelakar, komedi, mencuit hati, dsb) Begitu juga dengan perkataan 'siar' yang bilamana dibubuh imbuhan 'ter' didepannya, maka perkataan itu akan menjadi 'tersiar' yang membawa maksud tarikh, masa dan tempat siar itu tidak boleh dikawal oleh diri sendiri. Ada kuasa lain atau autoriti yang akan menentukannya.

Untuk terus memahami maksud perkataan ini, mari kita sama-sama ikuti kisah benar di bawah ini.

Dan di suatu petang yang suci tanpa badai dan taufan, arakian diceritakan bahawa telah tersasul lah sang penutur bicara di dalam surau (untuk Asar dan Maghrib) yang mulia lagi berkat. Sedang akal ingin berkata kelabu maka meluncurlah kalbu dengan lajunya selaju kilat di udara tanpa disedari si pembicara. Teramatlah yakin dan tersangatlah jelas didengar oleh yang mendengar meski sedecit pun tak terdengar untuk menjentik rasa penutur bicara. Lantas ditegur si tuan punya gegendang yang bergetar,

" Haa, kau sebut apa tu?! Warna apa?!"
" Warna apa pulak? Sama macam kereta Anas la."
" Itu aku tahu. Yang kau sebut tadi tu warna apa?"
" Kalbu."
" Haa, kalbu jadahnya! Kelabu! HAKHAKHAK!"

Maka terdekah-dekahlah empunya gegendang getar dengan bersungguh-sungguh kerana ketersasulan si penutur kata. Dan sang penutur bicara hanya mampu tersenyum sipu kerana lidahnya tersilap membuka langkah.


Apakah yang sebenarnya bermain di fikiran si penutur bicara hinggakan warna tahi anjing itu didekatkan ke dalam jiwa? Sama-sama kita renung, fikir dan komenkan.

Sunday, January 18, 2009

Warkah Untuk Pesot

Menemui sahabatku, Pesot@Piere Andre yang kini berada di Orenji Heights,Ube. Semoga kau sihat hendaknya.

Tujuan aku menulis warkah ini adalah untuk menceritakan tentang mimpi-mimpiku yang berkisar di sekitar ruang lingkup hidupmu. Sudi-sudikanlah membacanya hingga tamat kerana jarak rumah kita yang terlalu jauh, dan keadaan hidupmu yang terlalu sibuk hinggakan beratus-ratus saat, malah berjuta saat kita tak dapat bersua muka dan bertanya khabar. Lalu kuutus surat ini tanpa setem dan pejabat pos melalui blog ini.

Pesot,
Ketika kau sedang membaca warkah ini, aku mungkin sedang nyenyak tidur bermimpikan kau membeli Subaru Impreza datang ke parkir Sunshine (apartment) lalu membuat donut menggunakan tayar empat ketul kereta mu sehingga seluruh warga Sunshine bersorak meraikanmu. Atau mungkin Honda Civic Type R. Atau mungkin Honda Integra Type R. Aku juga mungkin bermimpikan persandinganmu dengan jiran cik Zorita Shamsudin (bukan nama sebenar). Mungkin juga aku bermimpikan kau mendapat gelar Tun kerana jasa dan sumbanganmu kepada bangsa dan negara. Entah lah Pesot, kalau diingat-ingatkan kembali, terlalu banyak wajahmu muncul mengganggu tidurku. Barangkali sejak kau menceritakan bahawa kau membaca blog-blog penduduk kampung Ube. Lantas mencambahkan benih idea untuk menulis warkah ini kepadamu.

Wahai Pesot,
Aku amat berharap, agar kau tak lagi meracun mana-mana jiwa tulus dan murni yang sedang membaca kanji. Biarkanlah jiwa murni itu membaca kanji dengan muka bersemangat penuh tulus dan kudus. Biarkan, biarkanlah. Selagi dia bukan otaku yang tak mahu kenal dunia lain selain dunianya sendiri. Dan andainya kau bertanya tentang kelas-kelas agama yang semakin berkurang di tahun ini berbanding tahun lalu, soalan-soalan tentang kelas itu tak mampu aku balasi dengan jawapan kerana ia di luar bidang kuasa ku. Aku tahu, kau amat merindui kelas-kelas itu. Di musim tesis ini, aku tak mampu mengaturnya. Namun andai kau benar berharap, akan aku tanyakan pada yang berkenaan tentang kelas di waktu cuti musim bunga nanti. Malah, akan aku berikan nombor telefon mu padanya, moga lebih senang kau berurus dengannya. Barangkali kau bisa juga bertanya pada sahabatmu, soB (bukan nama sebenar) yang masih belum berjaya mengajak mu ke khemah ibadah di setiap cuti panjang. Mungkin benar katamu, setiap kem itu kauhadir dengan berwakilkan dia dan kerana dia menceritakan kembali setiap yang didapat dari kem itu. Maka, kau juga mendapat ilmu yang sama. Maka kerana itu, kau juga harus ajarkan kepada kami semua yang telah kau dapat darinya. Dan apakata sekiranya kau sendiri yang menganjurkan kelas-kelas agama yang kau minta? Apa katamu? Beranikah?

Duhai Pesot,
Sebelum ku akhiri warkah ini, ingin sekali aku berterima kasih kepadamu kerana membawa kawan-kawan lain menjengukku ketika aku bermastautin di hospital tahun lalu. Dan kau juga yang mententeramkan keadaan ketika berada di tepi gaung maut yang telah menimbulkan keinsafan seketika kepada rakan-rakanku tentang mati dan keluarga. Dan ketika kereta terparkir di tepi sawah, kau juga turut sama terparkir. Terima kasih untuk segalanya. Sehingga tamat pengajian nanti, bersama-samalah kita warnai dunia Ube dan seisinya dengan memori-memori indah dan bernas. Sampai ketemu lagi di warkah yang lain bersama isi-isi baru (bukan mimpi barangkali).

Sekian, wassalam.

Yang benar,
Lupang@Aziz M Osman

* otaku - klik sini untuk maksud dari wikipedia

Thursday, January 15, 2009

MAJLIS DISKUSI KARYA MANTAN MPR 2009

Majlis Diskusi Karya Mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) kembali lagi. Majlis kali ini akan diadakan dengan kerjasama Alumni Minggu Penulis Remaja dan Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pihak Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) dengan sukacitanya menjemput semua ahli kelab alumni, para penulis, pembaca, penelaah, pemerhati, peminat dan pencinta ilmu sastera tanah air untuk menghadiri majlis ini.

Tarikh: 17 Januari 2009 (Sabtu)
Jam: 8.30pagi - 12.30tghari
Tempat: Dewan Seminar, Aras 2, Menara DBP
Tema Pakaian Mantan : MERAH

Sesi 1 (Karya Eceran & Novel)

Diskusi puisi eceran dibicarakan oleh Professor Rahman Shaari

Karya-karya yang akan didiskusikan:
1. SESUMPAH – FIRDHAUS HASSAN (Tunas Cipta)
2. DI TEDUHAN SEBUAH POHON KEMERDEKAAN – NISSA' YUSOF (Mingguan Malaysia)
3. DOA YANG BUNGKAM – AZREE ARIFFIN (Mingguan Malaysia)
4. GURINDAM DAMBAAN INSANI – NOR AFIQAH BINTI MOHD SIDEK (Berita Minggu)
5. PELANGI INDAH DI LANGIT BIRUMU – FARAHANA HUSSEIN (Al-Islam)
6. PENOMAD CINTA – NURUL 'IZZAH ZAINOL (Berita Minggu)
7. HUJAN PAHALA II – ZAKI JOHARI ( Berita Harian)
8. MERINDUIMU – ODE (Berita Minggu)
9. MARSUM RALAT DARIPADA AL-AZIZ – NASRIAH ABDUL SALAM (Mingguan Malaysia)
10. MERDEKAKAN HATIMU – AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN (Tunas Cipta)


Diskusi cerpen eceran dibicarakan oleh Dr Mawar Shafie

Karya-karya yang akan didiskusikan:
1. GERAI PISANG GORENG ABAH - AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN (Tunas Cipta)
2. KERETA PUNYA ANGKARA – AIDIL KHALID (Tunas Cipta)
3. MAHAKARYA SEORANG PIDANA – ZULFAZLAN JUMRAH (Tunas Cipta)
4. SRENGENGE - NAI BOON MEE SARARAKS (Tunas Cipta)
5. INFILTRASI GALAKSI – M.F KENCANA (Tunas Cipta)
6. KERANA AKU BUKAN RABIATUL ADAWIYAH – SAYIDAH MU'IZZAH KAMARUL SHUKRI (Tunas Cipta)
7. SKIZOFRENIA – AZREE HANIFIAH (Tunas Cipta)
8. TUAH DAN KUCING PUTIH – MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR (Tunas Cipta)
9. TENGGELAM DALAM KEREDHAAN – NABIHA M. MASHUT (Tunas Cipta)
10. TERIMA KASIH UNTUKMU – HANI SALWAH YAAKUP (Tunas Cipta)
11. BEZA DUA WAJAH – SAPIAH BT DERAHMAN (Antologi Palestin)

Novel BUKAN YANG PERTAMA karya Salina Ibrahim
dibicarakan oleh Dr Rosnah Baharudin


Sesi 2 (Kumpulan/Antologi Cerpen)

Antologi cerpen KACAK JELITA dibicarakan oleh Encik S.M.Zakir

Kumpulan cerpen ESPRIT DE CORPS karya Nimoiz T.Y
dibicarakan oleh Dr Amida Abd Hamid

Kumpulan cerpen UJANA RINDU karya Mohd Ashadi Saiman & Siti Hajar Mohd Zaki
dibicarakan oleh Dr Kamariah Kamaruddin


Sebarang persoalan, sila ajukan ke emel: aktivitimpr@gmail.com

* sumber dari blog Minggu Penulis Remaja

Thursday, January 1, 2009

Salam Maal Hijrah 1430H & Salam Tahun Baru

Salam Maal Hijrah 1430H dan Salam Tahun Baru 2009 kepada semua.

Selalunya, pada setiap pertukaran tahun baru inilah seribu satu azam, malah mungkin sejuta yang diazamkan. Namun, saban tahun, berapakah yang mampu dilaksanakan? Dan andai ada yang bertanya padaku tentang apa azamku di tahun baru ini, ingin kukata padanya, "Marilah kita untuk sama-sama berazam untuk berazam setiap hari dan menzahirkannya secepat mungkin tanpa perlu menunggu permulaan tahun baru dan bergantinya kalendar saban tahun."

Pasti ada yang berkata, aku cuba menyatakan kepura-puraan. Namun sedarlah, selagi kita terikat dengan retorik dan ritual supaya hanya berazam di tahun baru, selagi itulah azam-azam itu masih belum mampu membawa kita ke tahap yang lebih tinggi. Biar apapun azam kita semua, yang pastinya, kita mengidamkan sesuatu yang lebih baik untuk semua sama ada untuk diri sendiri, keluarga, agama, bangsa, mahupun untuk negara. Dan semoga kita berusaha untuk mencapai azam itu.

Selamat maju jaya!


Falsafah Cinta oleh Art Fazil

Cinta perlu berhati-hati
Cinta perlu menjaga diri
Cinta perlukan kepastian
Cinta bencikan kesangsian
Cinta perlukan kawan

Cinta itu janji setia
Cinta hidup selama-lama
Cinta suatu pengorbanan
Cinta suatu kepasrahan
Cinta perlukan teman

Insan oh insan
Hidup kerna cinta
Insan oh insan
Segala tercipta kerana cinta

Cinta punya harga diri
Cinta bersemangat murni
Cinta perlukan keikhlasan
Cinta suatu perjuangan
CInta untuk berkasih sayang
Cinta cinta, cinta cinta
Bukan lawan tapi teman
Cinta cinta
Untuk berkasih sayang
Cinta, segala-galanya cinta
Perasaan rindu dendam asmara lelah
Cinta, segala-galanya cinta
Cinta; lawan, cinta; teman
Berkasih sayang
Cinta cinta
Hanya kerana cinta di dalam cinta