Wednesday, October 29, 2008

kutuk muzik

Pernahkah kaubaca komen-komen di kebanyakan klip video lagu Melayu dan Indonesia di Youtube?

Kalau diperhatikan, (selalunya) komen-komen tersebut tidak membina langsung. Setiap lagu yang dibuat dengan sepenuh daya kreativiti dan idealogi pemuzik masing-masing dikutuk dan dicaci pelbagai kata. Malah, ruangan komen itu juga bagai menjadi 'medan pertempuran' antara penonton klip video di Malaysia dan Indonesia.

Masing-masing bermatian mempertahan keasyikan irama lagu artis mereka. Meskipun hak dan kebebasan bersuara itu ada, namun ia perlulah digunakan seelok-eloknya dan haruslah pada perkara yang memberi manfaat kepada sesiapa yang membacanya. Sekadar bertekak dan bergaduh di ruangan komen dengan mengatakan lagu itu lebih 'jaguh' bukanlah satu penyelesaian yang bijak. Ia sekadar menampakkan kebodohan dan kedangkalan si pengomen yang selalunya terpesong daripada matlamat asal seperti membicarakan tentang kekreatifan sesebuah lagu atau memberikan apresiasi kepada lagu tersebut.

Usahlah kita sibuk berbicara tentang siapa yang lebih ganteng dalam menghasilkan lagu. Semua hasil kreatif dan hasil seni itu adalah milik mutlak Tuhan Yang Maha Pencipta Keindahan. Pada siapa yang dikurnia-Nya, maka terhasillah lagu dan hasil seni yang menakjubkan. Dan semoga dengan terhasilnya karya-karya seni sebegitu akan membangkitkan semangat dan daya saing untuk sama-sama berusaha menghasilkan hasil seni yang mengagumkan.

Andai ada di antara kita yang telah dan pernah terlibat dalam memberikan komen-komen sebegitu di ruangan komen Youtube, hentikanlah. Tiada sebarang manfaat pun bakal kita peroleh hasil pertengkaran itu. Melainkan, anda benar-benar seorang pemuzik dan anda rasa kutukan dan kritikan di Youtube itu tidak patut ditujukan kepada karya anda. Dan sepatutnya, anda anggap itu sebagai satu cabaran untuk menghasilkan sebuah karya yang benar-benar bermutu dan digilai ramai, bukannya ikut sama membalas dan ber'gocoh' di gelanggang tanpa sempadan itu.

Bergaduh dengan orang bodoh, kita juga dipandang bodoh.
Berlawan dengan si gila, kita juga dianggap gila.

Thursday, October 16, 2008

Aku Terima Nikahnya


Biar seru yang memanggil, bukan mungil bibir atau comel rupa.

Sungguh-sungguh buku ini membuka minda. Moga-moga tulisan tentang isi buku ini dapat dikongsi bersama.

Cuba-cuba Kahwin

Perkahwinan bukanlah suatu percubaan atau tempat meraih pengalaman. Tiada konsep cuba-cuba berkahwin. Perkahwinan adalah satu perjanjian untuk memberi komitmen kepada pasangan dan keluarga. Juga bukan sekadar nafsu dan kasih sayang semata-mata tanpa memikirkan tentang tanggungjawab dan peranan.

Zuriat

Usah asyik bertanya berapa bilangan zuriat yang diingini tanpa memikirkan berapakah zuriat kita yang benar-benar menjadi 'manusia'. Dan juga proses serta cara untuk memanusiakan zuriat.

Antara Hak Dan Tanggungjawab

Kita perlu berusaha untuk menunaikan peranan dan tanggungjawab. Bukan asyik menghitung hak-hak yang masih belum diterima. Pasangan kita juga seorang manusia biasa, bukannya robot; tak punya perasaan dan sekadar menerima arahan sahaja.

Cinta Tanpa Syarat

Cintailah anak-anak yang lahir nanti tanpa syarat. Tanpa mengharap mereka akan menatang kita di waktu kita tua kelak. Ketahuilah bahawa mencintai dan menatang anak-anak itu adalah tanggungjawab kita kepada agama, bangsa dan negara. Bukannya sebagai pelaburan untuk kehidupan yang lebih menyenangkan di masa depan hasil bantuan anak-anak.

Antara Kenapa Dan Untuk Apa

Andai pasangan kita nanti bukan se'sempurna' yang kita inginkan, usahlah asyik bertanya kenapa kita dijodohkan dengan orang sebegitu. Tanyalah pada diri untuk apa kita dipasangkan begitu. Dan fikirkanlah bagaimana untuk mengatasi atau menghadapi rintangan yang ada.

Terdapat bermacam alasan dan cara untuk berkahwin. Namun, sebagai pandangan peribadi, berkahwinlah apabila masanya telah benar-benar sampai. Bukan kerana desakan nafsu atau persekitaran. Tidaklah saya katakan bahawa berkahwin awal itu dilarang dan ditegah. Cuma, saya berpendapat seelok-eloknya bergaullah dengan masyarakat dahulu sebelum mendirikan rumahtangga. Usahlah terburu-buru untuk berkahwin sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga. Fahami dulu selok-belok dunia luardan dunia berkahwin. Kumpullah aset sebelum berkahwin sebagai jaminan masa depan. Siapkanlah dirimu dengan persediaan serapi mungkin; zahir dan batin.

Biar bagaimana rupa pasangan kita nanti sekalipun, yakin dan percayalah; Tuhan tak pernah kejam dalam mengatur hidup kita.

Wednesday, October 15, 2008

Syawal Enam Belas

Jasad hamba sudah di sini,
Namun hati masih di tanahair,
Ramadan telah berlalu pergi,
Namun Syawal belum berakhir.

* puasa enam

Monday, October 6, 2008

SALAM LEBARAN

Salam Lebaran.

Pohon ampun dan maaf; zahir
dan batin. Halalkan
yang termakan dan terminum.

* puasa yang rongak jangan lupa diganti
* tambahkan dengan puasa enam