Daisypath Wedding tickers

Thursday, September 18, 2008

Antara Kombini Dan Hotel Percuma II

*tajuk entry ini adalah kesinambungan daripada entry sebelum ini kerana idea puisi di bawah ini terlahir daripada tajuk entry sebelum ini*


Tajuk - Antara Hujan Ramadhan Dan Pelangi Syawal

Tiap titis hujan pahala yang turun,
usah ditepis dengan payung dosa.
Tadahlah dengan tempayan amal sebesar lautan; agar
tadahan tak kering berzaman,
dan bersucilah dengannya.

Pelangi Syawal yang terbentuk di celah hujan,
nikmatilah; pelangi
itu tidak lama,
tanpa cahaya mentari dan titis hujan,
tanpa-Nya;
tiada pelangi.

p/s- Entry sebelum ini adalah gurauan dan mimpi penulis. Sebarang persamaan, anggaplah itu takdir. Kalau salah, jadikan sempadan. Kalau benar, anggaplah teguran.

Antara Kombini Dan Hotel Percuma

Antara kombini dan hotel percuma,
tertinggal plastik di bakul basikal.

Antara kombini dan sahur,
kawan ditinggalkan.

* Kombini bermaksud convenient store dalam bahasa Jepun

Sunday, September 14, 2008

Macam Macam

Ramadhan

Wah, Ramadhan sudah menjengah malam kelima belas! Sungguh cepat Ramadhan kali ini bergerak. Bagai tak percaya pula Ramadhan sudah masuk hari yang kelima belas. Rasanya bagaikan baru semalam sahaja Ramadhan menjengah tiba. Dan oleh itu, marilah kita bersama-sama mengoreksi segala amalan kita di bulan mulia ini. Apakah sempurna puasa kita dengan turut mempuasakan seluruh anggota tubuh kita; mata, mulut, telinga dan seluruh badan? Biar apa pun jenis puasa yang telah kita lakukan, biarlah yang berlalu terus berlalu. Yang penting sekarang ini, bagaimanakah harus kita tambah amalan-amalan untuk menghabiskan sisa bulan pahala ini. Dan jangan lupa berdoa semoga Ramadhan kali ini tak sia-sia. Dan peluang merebut pahala Ramadhan yang masih ada ini perlulah kita gunakan sebaik mungkin.

Rumah Tangga

Di bulan Ramadhan ini juga, kerap kali secara tidak dirancang aku menemukan topik bicara iaitu kahwin. Dan di antara yang menarik untuk aku kongsikan adalah sedutan Forum Petua Mendapat Pasangan yang dipengerusikan oleh Aziz Desa. Manakala Dr Masyitah Ibrahim dan Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah sebagai penforum.

Dalam forum itu, Dr Masyitah ada memberi contoh bahawa sikap suami yang acuh tak acuh seringkali menjengkelkan pihak wanita. Contohnya andai si isteri bertanya pada suami yang sedang minum kopi, "Minum kopi ye bang?" Biasanya yang dijawab oleh suami bukanlah "ya", sebaliknya si suami akan menjawab dengan jawapan yang kurang menyenangkan seperti berkata, "Taklah. Tengah menyelam."

Selain itu, andai si suami siap berpakaian kemas ingin pergi ke kerja, bertanyalah si isteri kepada si suami, "Nak pergi kerja ye bang?" Lantas dijawab secara sambil lewa oleh si suami dengan berkata, "Taklah. Nak pergi pecah rumah orang."

Walaupun aku masih belum bergelar suami kepada mana-mana wanita, aku juga yakin bahawa dialog yang serupa itu akan aku ungkapkan kepada isteri ku nanti. Mungkin dengan niat sekadar bergurau. Bukankah lebih baik bergurau sekali sekala daripada asyik bercakap serius dengan isteri dua puluh empat jam. Dan secara jujur, aku memang suka bergurau. Dan kepada wanita yang bakal bergelar isteri nanti, rajin-rajinlah membaca perasaan si suami. Manalah tahu si suami sedang kehabisan idea dan baru sahaja dimarah oleh majikan di tempat kerja.

Namun, bukanlah dimaksudkan si isteri sahaja yang harus membaca perasaan si suami. Sang suami juga harus sama-sama pandai membaca isi hati isteri kerana telah kita semua maklum bahawa wanita ini mempunyai sembilan emosi dan satu akal. Makanya, wanita jugalah yang akan lebih beremosi dalam apa hal sekalipun. Dan sebagai lelaki yang berakal sembilan beremosi satu, pandai-pandailah tunjukkan emosi pada waktu yang dirasakan si isteri sangat-sangat memerlukan bantuan emosi daripada si suami.



Dengan kisah perkahwinan Ustaz Hasrizal serta ulangtahun perkahwinannya yang telah menjangkau tujuh tahun, rencam rumahtangga yang dipaparkan di blognya seringkali mengingatkan aku bahawa tujuan perkahwinan itu bukanlah untuk mendapatkan zuriat sahaja. Oleh sebab itulah, persiapan rapi perlu dilakukan sebelum rumah tangga didirikan supaya rumah tangga yang didirikan nanti bukanlah sekadar rumah yang bertangga tanpa jiwa dan tujuan. Dan moga buku Aku Terima Nikahnya hasil tulisan ustaz Hasrizal yang bakal aku hadami nanti dapat menggambarkan serba sedikit tentang kehidupan berumahtangga yang sebenar-benarnya.

BUKU AKU TERIMA NIKAHNYA INI BOLEH DIBELI DI KEBANYAKAN KEDAI BUKU UTAMA DI LEMBAH KLANG, ATAU BELI SECARA ONLINE DI MPH ONLINE

Monday, September 1, 2008

Salam Ramadhan

Selamat Datang Ramadhan.

Bersungguh-sungguh lah kita mendepangkan tangan menerima kehadiran Ramadhan ini secara seluruhnya. Bukan sekadar puasanya, namun ibadah-ibadah lain yang sepatutnya telah menjadi tunjang dan dasar kehidupan kita sebagai muslim selama bernafas di bumi Allah ini. Hiruplah sepuas-puasnya udara Ramadhan dengan penuh rasa tanggungjawab dan kehambaan pada Nya. Udara ini takkan pernah beda andai kita tidak mencari perbezaan dan keistimewaan yang ada dalam bulan penuh barokah ini. Bulan yang sarat dengan seribu satu hikmah ini hanya muncul sekali dalam setahun. Jadikanlah ia sebagai batu asas dan seterusnya batu loncatan untuk kita bersama-sama memajukan iman kita ke tahap yang lebih tinggi lagi. Bak kata Mawi, "Dunia tu dunia juga. Akhirat jangan lupa."

Pengalaman Pertama Berpuasa di Perantauan

Bagi adik-adik dan rakan-rakan yang baru pertama kali merasai nikmat berpuasa di perantauan, carilah keistimewaan yang bakal diperoleh daripada pengalaman ini. Usah dicari persamaan atau perbezaan yang ada bila berpuasa di tempat orang. Suasana berpuasa di Malaysia takkan pernah sama jika dibandingkan dengan berpuasa di perantauan. Janganlah mengada-ngada ingin mencari bazar Ramadhan di bumi Jepun ini. Banyak lagi ibadah yang boleh dilakukan daripada membandingkan perbezaan dan persamaan semua itu. Yang paling penting adalah tanyalah pada diri kita sendiri sama ada masih samakah taraf puasa kita bila berada di perantauan ini. Adakah puasa kita selama ini ditentukan oleh persekitaran dan bukannya oleh iman kita.

Akhir Kata

Marilah kita sama-sama berdoa agar Ramadhan kali ini bukanlah Ramadhan yang terakhir buat kita semua. Dan semoga kita berpeluang menghabiskan Ramadhan kali ini dengan sempurna.

Tepuk dada, tanya iman.

Salam Ramadhan. Maafkan andai ada tersilap kata terlanjur bicara terlajak laku.