Daisypath Wedding tickers

Thursday, March 5, 2009

Jamuan Perpisahan @ Sobetsukai II

11 Februari 2009, Selasa.

Hari itu bermula dengan aman, nyaman dan tenang. Aku yang berhasrat untuk tidak ke gakko hari ini kerana telah berniat dengan diri untuk fokus pada tesis di rumah mula berasa bahawa tindakan yang kuambil itu amatlah tepat. Dan aku teruskan hari ini dengan bergelumang dengan tesis dan segala-gala yang berkaitan.

Sehinggalah hiruk-pikuk mula kedengaran pada jam 11 pagi. Barangkali persediaan untuk malam ini; Majlis Perpisahan @ Sobetsukai untuk senior-senior yang bakal graduasi pada Mac tahun ini. Aku cuba abaikan bunyi bising dan riuh-rendah yang semakin lama semakin galak dan 'meriah'. Namun, semakin lama bunyi itu menghilangkan fokus ku pada tesis. Resah dengan hingar-bingar yang kutahu bakal berterusan sehingga ke petang hari, pintu rumah kukunci agar tiada sesiapa yang akan datang mengganggu biarpun dengan niat untuk bertegur sapa. Telinga kusumbat dengan fon telinga sambil mendengar lagu-lagu lain yang mampu memberi fokus pada tesis, bukannya pada hilai tawa dan borak mereka. Dan petang itu pun berakhir dengan satu lagi takah tesis dapat dicapai dalam proses menyiapkannya.

Tanpa kusedari, jam sudah menunjukkan 7 malam. Beberapa suara yang masih lagi kedengaran di luar rumah membuatkan aku menyangkakan bahawa jam baru sahaja pukul 6 malam. Majlis akan bermula pada jam 7.30. Aku menjadi kabut. Baju dan gaya bagaimanakah yang harus kudandan diri ini bagi memberi penghargaan kepada semua yang menjayakan majlis? Dalam keadaan yang agak gelabah, aku mula menelefon kepada rakan segraduasi untuk bertanyakan jenis dandannya. Dan bagi aku yang tak tahu bergaya dan berdandan ini, dengan baju yang terhad dan tidak ekslusif, tidak banyak gaya yang mampu aku fikirkan. Setelah membelek-belek baju sedia ada dan masa yang semakin suntuk, lantas aku berbaju melayu lengkap bersampin tanpa songkok berkot. Kot itu lebih kepada penambah haba memandangkan cuaca yang agak sejuk pada malam itu. Dan aku pun melangkah ke majlis pada jam 7.30.

Setiba di majlis, majlis belum bermula kerana masih ada yang belum tiba. Terutamanya tetamu-tetamu yang diraikan. Setelah itu ini untuk kemasan dan persiapan akhir, majlis bermula pada jam kurang lebih 8.30. Pada kaca mata biasa dan pemikiranku, acara majlis ini akan jadi seperti setiap tahun. Ucapan daripada pihak yang diraikan, pembahagian cenderahati, makan-makan, sesi bergambar, tamat.

Namun, aku mula merasakan kelainan majlis bilamana usai ucapan daripada pihak yang diraikan, tiada sebarang cenderahati diberikan. Ucapan dariku yang langsung tak tersusun butir bicara hanya dapat kusimpulkan dalam bentuk pantun yang agak banyak; lima rangkap kesemuanya. Seharusnya dua rangkap sudah memadai. Namun, berdiri di depan khalayak yang bakal aku tinggalkan di bumi Jepun dan belum tahu bila kan berjumpa semula, lidahku bagaikan terkelu dan kaku. Tak mampu berfikir akan semua itu kerana perasaan sebak sudah beraja di seluruh badan tika itu. Biar apapun yang terungkap dan terucap di majlis itu, aku ingin memohon maaf kepada semua warga Yamadai andai ada yang terguris hati dan perasaan oleh kata-kata mahupun tingkah laku diriku. Andai ada hutang yang masih belum kulunaskan; ingatkanlah. Bakal aku lunaskan. Tak mampu kusebut nama satu persatu ketika majlis kerana rasa gemuruh turut menyerbuku ketika di podium itu. Maafkan aku.

Majlis diteruskan dengan acara santap sampai kenyang. Menu kampung menjadi menu malam itu. Amat enak dan mengenyangkan. Aku sekali lagi kehairanan kerana ketika tetamu sedang sibuk bersantap, penganjur majlis tidak kelihatan. Sekadar beberapa orang yang turut makan bersama kami selepas menyusun kerusi dan menyediakan props. Tiba-tiba lampu dipadam dan saudara Wan mengambil alih peranan pengerusi majlis. Dan watak demi watak muncul bersketsa. Setiap watak menggambarkan sikap dan 'ayat-ayat best' yang pernah diungkapkan oleh setiap orang yang diraikan. Sambil bergelak ketawa melihat 'aksi sendiri' pada satu ketika dulu, aku seakan kagum dan terharu atas usaha penganjur majlis tahun ini. (Kreatif dan menarik.)

Dan tambah mengharukan, tayangan gambar-gambar lama yang dijadikan video membaurkan sejuta satu perasaan. Semuanya bercantum menjadi satu. Gambar-gambar aksi pelik dan perbezaan daripada tahun ke tahun amat menggeletek hati semua. Idea baru bagi majlis seperti ini di Ube.

Dan selepas itu barulah cenderahati disampaikan kepada semua yang diraikan. Tapi, bukan nama sahaja disebut, setiap nama dibubuh dengan gelaran berdasarkan fiil masing-masing. Sempai Paling Slumber; Pesot, Sempai Paling Ekonomi; Kreng, Sempai Anak Emas Syachou; Mame, Sempai Beg Tangan Paling Mahal; Pai. (maaf Kak Yati, tak ingat 'anugerah' untuk akak)

Kusangkakan majlis sudah berakhir, namun ada juga acara kota beracun. Niat untuk mengenakan semua yang diraikan nampak jelas di muka tantou acara itu; Pojik dan Matnor. Aku hampir-hampir dikenakan. Namun nasib menyebelahiku meski empat orang di kiri dan kanan ku tidak terlepas daripada niat jahat pengatur acara. Sempatlah bergelak ketawa sambil hati berdebar-debar setiap kali kotak beracun berada di tangan dan muzik seakan-akan ingin berhenti. Satu lagi idea kreatif untuk acara beramai-ramai selepas ini.

Sesungguhnya, aku benar-benar rasa terharu dan kagum atas usaha penganjur untuk memastikan majlis ini berjalan lancar dan berjaya. Terima kasih sekali lagi. Semoga majlis perpisahan ini bukan menjadi titik pertemuan terakhir yang memisahkan kita untuk selamanya. Kalaupun tak mampu bertemu di dunia, semoga kita bertemu kembali di syurga nanti. Dan aku doakan semoga kita semua berjaya dengan jalan hidup masing-masing. Dan kenangan di Ube ini takkan terluput dari ingatan kita semua. Wassalam.

gakko - sekolah (budaya Jepun memanggil universiti sebagai sekolah dalam perbualan seharian)
Yamadai - Yamaguchi University
Sempai - senior
Syachou - bos
tantou - ahli jawatan kuasa

7 comments:

frappucin0o said...

best gile soubet ko...
happening!
kalau lah di saitama juga begitu...pasti seronok juga!

Lady Caca said...

Bagaikan mahu mengalir air mata ku. Ter sebak. Hu hu.

Zaki Isa said...

apros - mmg meriah ar soubet thn ni. happening berbanding tahun2 sblm ni.

malak nayali - mmg ber kandou ar. sampai mata berkaca. huhu

dena said...

walaupun ni first soubet aku dan baru setahun jagung kenal korang..rase kandou sangat2..huhu,especially mase ko bc pantun2 ko tuh..giler kandou.

Zaki Isa said...

dena - aku mmg x pandai bg ucapan depan orang ramai. lagi2 untuk majlis yang tak berapa formal macam tu. so, aku simpulkan semuanya dalam pantun2 yang aku cari kat internet.

ApeeN said...

zaki..

sedihnyeh... mestila sdh nk tglkan jepun for goods dah..

if fren nk tglkan surabaya yg xbest nih pun.. mestila nanges smpai banjir gk..sedih la..

Zaki Isa said...

frenny - insyaAllah for good. doa2kan lah.