Daisypath Wedding tickers

Saturday, April 14, 2012

PTPTN

Pada pendapat saya, bukan semua orang tidak mahu membayar pinjaman PTPTN. Hampir 90% daripada peminjam PTPTN tidak ingin membayar kerana adanya caj pentadbiran yang sangat membebankan. Tidakkah pihak PTPTN sedar bahawa ketegasan mereka dalam meminta caj perkhidmatan itu hanya akan membebankan mereka kerana tegarnya peminjam daripada membayar pinjaman?

Saya melihat ini sebagai suatu keadaan yang tidak bagus untuk negara dan pendidikan. Bagaimana kerajaan boleh atau sanggup menggunakan pendidikan sebagai satu perniagaan yang mampu memberikan keuntungan kepada mereka? Tidakkah seharusnya kerajaan bertanggungjawab menyediakan prasarana untuk memastikan institusi pendidikan dipenuhi dengan rakyat-rakyat yang benar-benar ingin menimba ilmu? Sekiranya isu PTPTN ini masih kekal begini tanpa penyelesaian yang benar-benar jitu, saya tetap merasakan kerajaan atau PTPTN ini sedang menjadi pihak yang mengambil kesempatan atas kesempitan dan keterdesakan rakyat untuk menimba ilmu pengetahuan.

Pada pendapat saya, Malaysia masih belum benar-benar mampu untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat-rakyatnya. Meskipun pihak pembangkang dengan lantangnya mencanangkan kepada negara bahawa mereka akan memansuhkan PTPTN apabila mereka memerintah negara, namun jujur di dalam hati saya tidak ingin percaya dengan janji-janji segera itu. Secara realistiknya, janji yang ditabur sebelum pilihanraya atau sebelum mendapat kuasa adalah janji-janji bayangan. Maka dengan itu, saya yakin bahawa PTPTN masih lagi relevan untuk menjadi dana pendidikan negara yang dapat membantu rakyatnya menimba ilmu pengetahuan dan mengejar taraf pendidikan yang lebih tinggi bagi rakyat Malaysia.

PTPTN harus bersikap positif dalam menggalakkan peminjam untuk membayar kembali wang pinjaman mengikut jadual yang ditetapkan. PTPTN juga harus sentiasa bersikap kreatif dalam mempelbagai cara dan memudahkan proses pembayaran. Sebarang caj-caj tersembunyi yang bukan-bukan seharusnya dihapuskan terus kerana ini bukan sahaja menggalakkan peminjam untuk membayar pinjaman, malahan akan meningkatkan imej PTPTN sebagai sebuah badan yang benar-benar ikhlas dalam memastikan taraf pendidikan rakyat Malaysia berada di tahap yang setara dengan negara-negara lain.

"Ukur baju di badan sendiri". Acapkali kedengaran kita bersikap membandingkan negara kita dengan negara-negara maju yang lain. Namun, sedarkah kita di mana letaknya negara kita dalam carta negara-negara dunia? Sentiasalah ukur baju di badan sendiri namun dengan cara yang kreatif dan inovatif agar kita sentiasa ke depan dengan cara kita sendiri.

Tiada gunanya kita saling menuding jari dalam menentukan siapa yang salah dan siapa yang harus diikuti. Percayalah, sikap begitu tidak akan membantu dalam menyelesaikan masalah PTPTN ini. Seharusnya pembangkang dan kerajaan berebut-rebut dalam merealisasikan idea-idea untuk menyelesaikan masalah ini demi kepentingan rakyat dan bukannya demi kepentingan mendapatkan kuasa dan projek berjuta-juta.

Semoga Malaysia ku akan terus damai dan tenteram.

Govt needs to spend rm43b if ptptn were abolished (NST, 7th Apr 2012)
Forget the interest, PTPTN told (The Star, 12th Apr 2012)

No comments: